X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 23 Januari 2022

Penjawat awam Pulau Pinang terima bonus setengah bulan gaji

Kon Yeow (tengah) bersama barisan pemimpin Kerajaan Pulau Pinang menunjukkan naskhah ucapan Belanjawan 2020 Pulau Pinang tadi.
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bayaran bonus akhir tahun sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri ini.

Perkara itu diumumkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika membentangkan Ucapan Belanjawan 2020 Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang di sini tadi.

Menurutnya, pemberian itu melibatkan 3,996 penjawat awam dengan pembayaran keseluruhan sebanyak RM5.42 juta.

Beliau berkata, pembayaran bonus berkenaan akan dibuat pada Disember ini.

"Pemberian ini bagi menghargai penjawat awam bagi 2019 yang banyak berjasa dengan kerajaan negeri.

"Komitmen jitu yang diberikan oleh penjawat awam telah membantu Pulau Pinang dalam mengekalkan prestasi yang cemerlang dalam semua bidang.

"Mengambil kira sumbangan penjawat awam yang tidak terhingga dan juga bagi melonjakkan semangat mereka, saya meluluskan bayaran bantuan khas kewangan (BKK) akhir tahun iaitu setengah bulan gaji atau minimum RM1,000," katanya.

Kon Yeow berkata, selain penjawat awam, 1,594 penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) juga mendapat imbuhan sebanyak RM300.

"Selain guru Kafa, 275 guru sekolah rendah agama rakyat, 185 guru sekolah menengah agama rakyat serta 583 guru dan staf sekolah persendirian Cina juga akan menerima RM300.

"Sementara itu, 252 guru tahfiz, guru pondok dan guru tadika Islam (Tadis) Pulau Pinang akan menerima RM200 iaitu melibatkan tambahan perbelanjaan berjumlah RM841,500. Mereka juga akan menerima pembayaran itu pada Disember ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, program kebajikan, iSejahtera akan diteruskan yang mana sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan bagi tujuan tersebut.

"Bagi menghargai warga emas, kerajaan negeri akan menaikkan bayaran penghargaan warga emas sebanyak RM20 iaitu RM130 kepada RM150 setahun. Kenaikan ini dianggarkan memberi manfaat kepada 178,000 warga emas, melibatkan peruntukan sebanyak RM26.7 juta dengan kenaikan sebanyak RM3.56 juta berbanding tahun ini.

"Selain itu, golongan orang kurang upaya (OKU) juga akan menikmati kenaikan kadar bantuan sebanyak RM20 iaitu RM130 kepada RM150 setahun. Ia akan melibatkan hampir 10,000 penerima dengan peruntukkan sebanyak RM1.5 juta dengan kenaikan RM200,000," katanya.

Jelasnya, dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang semakin meningkat, kerajaan negeri akan meneruskan perkhidmatan bas Congestion Alleviation Transport (CAT) secara percuma dengan kos RM15 juta pada tahun depan.

"Selain daripada perkhidmatan bas CAT, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan bencana kepada mereka yang terlibat. Sebelum ini kita dilanda Taufan Lekima dan merosakkan 3,075 buah rumah di seluruh negeri.

"Dengan bantuan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), kerajaan negeri memperuntukkan RM4.81 juta untuk tujuan pembaikan rumah kediaman kepada mangsa terlibat.

"Di samping itu, bantuan lain bagi mangsa kebakaran atau bencana alam yang lain juga telah diberikan oleh kerajaan negeri melalui Tabung Bantuan Bencana TYT Negeri Pulau Pinang, melibatkan peruntukan berjumlah RM133,900," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!