Jangan buat provokasi pada hari penamaan calon: Ketua Polis Johor

Kamarudin (tengah) menunjukkan peta penutupan jalan pada hari berkenaan.
Kamarudin (tengah) menunjukkan peta penutupan jalan pada hari berkenaan.
A
A
A

PONTIAN - Polis mengingatkan penyokong parti agar tidak membuat sebarang provokasi pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarudin Md Din berkata, pihaknya juga memohon semua parti yang bertanding pada PRK Tanjung Piai supaya mengawal dan menjaga tingkah laku penyokong masing- masing.

"Kita menjangkakan kehadiran kira-kira 10,000 penyokong parti yang bertanding hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini esok.

“Jangan timbulkan sebarang provokasi sehingga menyebabkan berlaku kekacauan.

"Buat masa ini polis difahamkan ada empat parti yang akan bertanding, tetapi jika ada tambahan kita juga telah bersedia,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian di sini hari ini.

Kedudukan laluan dan penyokong pada Hari Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini esok.
Kedudukan laluan dan penyokong pada Hari Penamaan Calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini esok.

Kamarudin berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan situasi ketika penamaan calon berjalan lancar.

"Seramai 412 pegawai dan anggota daripada Polis Kontinjen Johor juga akan ditugaskan sepanjang perjalanan hari penamaan calon berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Kita telah menyediakan pelan untuk mengatur aspek kawalan pada hari berkenaan," katanya.

Kamarudin berkata, pada hari berkenaan, polis juga akan menguatkuasakan penutupan tiga jalan utama khusus bagi memberi laluan kepada penyokong parti berkumpul.

“Jalan yang akan ditutup adalah Jalan Osman, Jalan Ismail dan Jalan Dewan. Kesemua laluan ini akan digantikan dengan laluan alternatif di Jalan Bakek, Jalan Al Sagoff dan Jalan Parit Mesjid.

“Penutupan jalan ini membolehkan kita mengumpulkan penyokong parti PH di Jalan Ismail, penyokong BN di Jalan Osman dan parti-parti lain di Jalan Dewan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, polis kini sedang mengesan seorang pemilik akaun Facebook persendirian kerana dilaporkan telah mengaibkan calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini.

“Sepanjang tempoh menjelang hari penamaan calon ini, kita hanya menerima satu laporan berhubung penghinaan di laman sosial Facebook oleh satu akaun persendirian.

“Buat masa ini usaha mengesan pemiliknya kita sedang lakukan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan di bawah 305 (b) Kanun Keseksaan,” katanya.