Zakat: Orang Islam perlu diutamakan, kata Mufti Pulau Pinang

Wan Salim
Wan Salim
A
A
A

GEORGETOWN - Umat Islam perlu diutamakan dalam pemberian zakat kerana kutipan membabitkan umat itu selain ia satu ibadah dalam Islam.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Mohd Noor berkata, sekiranya zakat mahu diperluaskan kepada orang bukan Islam, terserah kepada budi bicara pemerintah untuk memutuskannya berdasarkan kepada kepentingan awam.

Bagaimanapun katanya, kerajaan memainkan peranan menggunakan sumber lain jika bantuan mahu diperluaskan kepada orang bukan Islam.

"Antara sumber itu adalah sumber am, peruntukan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sebagainya. Tapi sekiranya pendapatan zakat melebihi keperluan masyarakat Islam maka ketika itu tiada masalah diagihkan kepada orang bukan Islam. Islam itu rahmat untuk seluruh makhluk ALLAH SWT," katanya ketika dihubungi tadi.

Wan Salim berkata, zakat mempunyai dua fungsi iaitu ibadat dan sosial.

"Sebuah hadis yang diriwayatkan Al-Bukhari menyatakan bahawa zakat dikutip daripada orang kaya Islam dan diagihkan kepada orang miskin dalam kalangan mereka (orang-orang Islam). Penerima zakat pula terdiri daripada lapan kategori seperti dinyatakan di dalam al-Quran iaitu fakir, miskin, amil yang mengurus kutipan dan serta golongan yang dijinakkan hatinya kepada agama Islam.

"Selain itu, zakat adalah untuk mereka yang mahu membebaskan diri daripada belenggu perhambaan, mereka yang dibebani hutang, untuk perjuangan menegakkan agama Islam termasuk aktiviti dakwah, sosial dan kebajikan serta mereka yang terkandas di dalam perjalanan dan terputus perbelanjaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan al-Quran itu, zakat boleh diberikan kepada orang bukan Islam dengan beberapa sebab.

Artikel Berkaitan:

"Zakat boleh diberi untuk tujuan menarik kepada agama Islam atau agar mereka membantu umat Islam dalam menghadapi musuh atau sekurang-kurangnya untuk meraih simpati mereka terhadap umat Islam.

"Secara prinsipnya sama ada zakat diagihkan kepada umat Islam sahaja atau mahu diperluaskan kepada orang-orang bukan Islam adalah terserah kepada budi bicara pemerintah untuk memutuskannya berdasarkan kepada kepentingan awam sebagaimana dilihat olehnya," katanya.

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar institusi zakat melakukan pembaharuan dengan memperluaskan bantuan kepada orang bukan Islam.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, dalam konteks masyarakat berbilang bangsa di Malaysia tidak sesuai hanya masyarakat Islam dibantu tetapi penganut agama lain dipinggirkan.

Anwar bagaimanapun berkata, cadangan itu hanya pandangan peribadinya dan memerlukan perubahan ke atas fatwa serta dasar sebelum boleh dilaksanakan.