X

Kindly register in order to view this article
!

Stres antara punca utama rakyat Malaysia hidap sakit jantung

Gambar hiasan
A
A

SHAH ALAM - Stres antara punca utama rakyat Malaysia menghidap penyakit jantung selain gaya hidup dan kurang bersenam.

Ahli Jawatankuasa Pusat Pertubuhan Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr Zubaidi Ahmad berkata, peningkatan pesakit berlaku di negara membangun berdasarkan perangkaan World Health Organization (WHO).

Menurutnya, masyarakat mengutamakan keperluan wang dan kebanyakan terpaksa bekerja lebih masa atau melakukan dua kerja.

"Kalau kita tengok kepada Undang-Undang Buruh memang ada dinyatakan bahawa kita tidak boleh bekerja lebih 8 jam sehari dan 40 jam bagi lima hari. Kalau pun buat kerja lebih masa kita hanya dibenarkan bekerja mungkin tiga atau empat jam selepas waktu kerja sebenar dan tidak boleh diamalkan selalu.

"Kerja lebih masa menyebabkan stres berterusan kepada fizikal dan mental. Ini kerana waktu malam adalah masa kita berehat bersama keluarga," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, beberapa tahun lalu pesakit jantung dikategorikan mengikut kaum terbesar iaitu India, Melayu dan Cina berdasarkan kepada gaya hidup dan pemakanan tetapi kini jumlahnya hampir sama.

Mengulas lanjut, Zubaidi berkata, masalah kesihatan kini bukan hanya dihadapi oleh individu sebaliknya keluarga.

"Kalau kita lihat masalah sosial dalam kalangan remaja membimbangkan berpunca daripada tidak mendapat perhatian penuh daripada ibu bapa yang terpaksa bekerja lebih masa," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!