X

Kindly register in order to view this article
!

Benarkah ramai isteri tak wariskan wang KWSP kepada suami?

KWSP
A
A

[DIKEMASKINI] DALAM satu pertemuan baru-baru ini, ada seorang sahabat Merak Jalanan beritahu ramai lelaki menamakan isteri sebagai pewaris utama duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, tidak ramai golongan isteri yang melakukan perkara yang serupa terhadap suami masing-masing.

Terkejut juga Merak Kayangan tentang fakta yang belum tentu sahih yang diceritakan oleh sahabat itu tadi.

Lalu soalan itu diajukan kepada seorang sahabat yang juga merupakan seorang wanita yang kebetulan turut berada dalam pertemuan pada petang yang santai itu.

Dia sendiri mengesahkan kepada kami semua bahawa dia tidak menamakan suami sebagai pewaris sebaliknya wang tersebut diberikan kepada anak-anak mereka.

Katanya, jika dia meninggal dunia terlebih dahulu, bimbang nanti suami akan hidup bahagia bersama wang tersebut bersama isteri yang baru.

Kami semua tergelak besar mendengar penjelasan tersebut sehingga membuatkan Merak Jalanan sendiri terfikir untuk bertanya pada isteri apabila pulang ke rumah selepas daripada pertemuan itu.

Pada Merak Jalanan keputusan untuk tidak menamakan suami sebagai pewaris itu adalah hak isteri.

Hendak wasiat kepada sesiapa itu terpulang kepada empunya diri tetapi jangan sampai tidak namakan langsung sehingga menyusahkan ahli keluarga jika berlaku kematian.

Ini kerana berdasarkan satu laporan yang disiarkan pada 10 Mac lalu, sehingga 31 Disember 2018, hanya 4.43 juta daripada 14.19 juta ahli KWSP atau 31 peratus yang membuat penamaan akaun mereka.

Menurut kenyataan daripada KWSP, dua senario terpakai untuk ahli beragama Islam, iaitu jika menamakan individu, penama bukan penerima mutlak, tetapi bertindak sebagai wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan simpanan si mati kepada waris yang berhak mengikut undang-undang Islam.

Jika akaun memang langsung tiada penama, waris terdekat atau pentadbir pusaka ahli layak membuat permohonan mengeluarkan simpanan ahli.

Bagaimanapun pesan KWSP, jika ahli mahu membuat penama, letakkanlah nama waris yang benar-benar layak.

Sekarang urusan berkaitan dengan KWSP tidaklah sesukar seperti dahulu, banyak urusan boleh dibuat secara dalam talian sahaja.

Ramai yang suka mengambil sikap suka bertangguh dan membuat sesuatu pada saat akhir tetapi dalam isu ini sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!