Polis serbu port proses air ketum

Juna memerhatikan barangan rampasan pada sidang media, hari ini.
A
A

SUNGAI SIPUT - Sebanyak 40 botol plastik berisi cecair disyaki air daun ketum serta tiga beg plastik mengandungi daun ketum dirampas dalam serbuan di Kampung Loh Enggor Sungai Siput, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintendan Juna Yusoff berkata, pada serbuan berkenaan polis turut merampas set memasak seperti tong gas, tungku dapur, periuk besar serta tong plastik biru.

Menurut Juna, polis turut menahan seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses air ketum berkenaan bagi tujuan jualan.

"Hasil maklumat orang awam berhubung penjualan air ketum di kawasan berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota narkotik IPD Sun telah membuat serbuan ke sebuah rumah di Lorong Kubang Gading, Kampung Loh Sungai Siput dan berjaya menahan seorang lelaki dipercayai berusia sekitar 50-an di bahagian bawah rumah berkenaan.

"Polis turut merampas sejumlah 40 botol plastik dipercayai mengandungi 50 liter air daun ketum termasuk tiga plastik mengandungi daun berkenaan yang dianggarkan seberat 20 kilogram.

"Bagaimanapun siasatan awal mendapati suspek berkenaan negatif dadah. Suspek serta kesemua barang rampasan berkenaan kemudiannya dibawa ke IPD Sungai Siput untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30, Akta Racun 1992," katanya pada sidang media di IPD Sungai Siput, hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput, Assisten Superintendan Cheang Ghee Leong.

Sementara itu Juna berkata, hasil siasatan juga mendapati suspek memperolehi bekalan daun ketum daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'Din' dari Teluk Intan.

Malah katanya, cara pembelian daun berkenaan dibuat menerusi penghantaran terus kepada suspek menggunakan kereta jenis Proton Wira berwarna hitam.

"Suspek berkata pada kebiasaannya dia membelanjakan RM600 bagi 20 kilogram, seminggu sekali bagi mendapatkan bekalan daun ketum berkenaan.

"Bagaimanapun, hasil soal siasat serta ujian air kencing didapati suspek negatif dadah. Namun, jika sabit kesalahan suspek boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih daripada empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia