X

Kindly register in order to view this article
!

10 lelaki diperintah bela diri kes seludup rokok, arak RM51.4 juta

​​​​​​Mahkamah menetapkan lima hari bermula 16 Disember untuk kesemua lelaki itu membela diri
A
A

KUALA LANGAT - Seorang operator kren dan sembilan anak kapal warga Indonesia diperintah membela diri oleh Mahkamah Majistret Telok Datok di sini hari ini atas tuduhan menyeludup rokok serta arak bernilai RM51.4 juta menggunakan 37 kontena tiga tahun lepas.

Majistret Mohd Isa Md Nor membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh iaitu operator kren warga tempatan, Liew Choon Siong, 61, serta sembilan anak kapal warga Indonesia, Purna Akbari Nasution, Rusdianto, Awaluddin, Samsul Arifin, Syaifah, Diki Hardiansyah, Ahmad Zaini, Supriadi dan Ulung Nuansa di akhir kes pendakwaan.

​​​Mahkamah menetapkan lima hari bermula 16 Disember untuk kesemua lelaki itu membela diri.

“Mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pendakwaan bahawa kapal dagang yang membawa 37 kontena berisi rokok dan minuman keras itu gagal mengemukakan dokumen pembayaran duti kastam.

“Semua tertuduh diberi tiga pilihan iaitu sama ada untuk mendiamkan diri, memberi keterangan di kandang tertuduh atau memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi,” kata majistret itu.

Mengikut pertuduhan kesemua tertuduh berumur antara 30 dan 61 tahun itu bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa terlibat dalam pengimportan barang-barang tidak berkastam di atas sebuah kapal di Jeti Bukit Gombak Development Sdn Bhd, Batu 13, Bandar Lama, Telok Panglima Garang di sini pada jam 2.30 petang 23 Disember 2016.

Pertuduhan ke atas kesemua lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1)(i)(aa) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh didenda tidak kurang RM168 juta sehingga RM336 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Abdul Rasyiddi Abd Rahman dan kesemua tertuduh diwakili peguam Ben Law.

Seramai 27 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada prosiding perbicaraan yang bermula Feb 2017 hingga Mac lepas dengan 61 eksibit dikemukakan di mahkamah. - Bernama