Pesawat 737 NG retak: Boeing berdepan tekanan global

Masalah retakan tersebut ditemukan pada bahagian 'pickle fork' pesawat 737 NG terbabit.
Masalah retakan tersebut ditemukan pada bahagian 'pickle fork' pesawat 737 NG terbabit.
A
A
A

CHICAGO - Syarikat pengeluar pesawat gergasi, Boeing kini berdepan tekanan global selepas firma tersebut mengakui tentang kesan retakan yang ditemukan pada sejumlah pesawat susulan pemeriksaan yang dilakukan di seluruh dunia.

Syarikat berpusat di Amerika Syarikat (AS) itu sekali lagi berdepan kebimbangan keselamatan hari ini selepas jurucakap rasmi mereka mengesahkan sehingga 50 pesawat 737 NG (Next Generation) mengalami masalah itu yang dikesan pada 'pickle fork' bahagian yang menghubungkan sayap dengan badan pesawat yang menguruskan tekanan udara dan daya aerodinamik.

Jelas jurucakap Boeing, kurang lima peratus daripada 1,000 pesawat yang diperiksa pada peringkat ini mempunyai retakan dan 'tidak boleh dibaiki'.

Pengumuman itu dibuat selepas syarikat penerbangan Qantas berpusat di Australia melaporkan ia terpaksa menggantung operasi Boeing 737 NG akibat keretakan pada strukturnya dan ia segera melakukan pemeriksaan ke atas lebih 32 pesawat lain.

"Kami tidak sesekali akan menggunakan pesawat sehingga ia memberi jaminan keselamatan secara keseluruhan," kata Ketua Jurutera Qantas, Chris Snook.

Sementara itu, Korea Selatan juga mengesahkan sembilan pesawat terbabit turut digantung operasi pada awal bulan lalu termasuk lima yang dikendalikan oleh Korean Air.

Dalam satu kenyataan, Agensi Penerbangan Persekutuan AS (FAA) mengumumkan ia telah mengarahkan pemeriksaan ke atas beberapa pesawat Boeing 737 NG selepas penemuan retakan struktur pada salinan di China.

Sejak beberapa bulan lalu, reputasi Boeing semakin buruk susulan insiden dua nahas melibatkan pesawat 737 MAX yang meragut 346 nyawa di Indonesia dan Ethiopia.

Artikel Berkaitan:

Penyiasat dari Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional Indonesia di Jakarta mendakwa kecacatan reka bentuk sistemik pada 737 MAX menjadi punca juruterbang melakukan kesilapan kerana tidak dimaklumkan tentang bagaimana untuk mengendalikan kegagalan sistem antipegun pesawat tersebut.

Sistem antipegun pada model 737 MAX juga dipercayai menjadi punca tragedi yang menimpa Ethiopian Airlines.

Susulan insiden nahas tersebut, 737 MAX telah digantung operasi selama lebih tujuh bulan dan dijangka beroperasi semula pada tahun depan. - Agensi