X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia giat usaha pacu dagangan, pelaburan Thailand

Jojie Samuel -FOTO: BERNAMA
A
A

BANGKOK – Malaysia akan mempergiat usaha bagi menarik lebih banyak perdagangan, pelaburan serta ketibaan pelancong dari Thailand berikutan pengukuhan mata wang baht berbanding ringgit.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel berkata, pengukuhan nilai baht Thailand berbanding ringgit juga telah memberi kesan dari segi ‘pengurangan kecil’ membabitkan perdagangan Malaysia-Thailand.

“Kita sedang berusaha untuk menggalakkan perdagangan dan pelaburan ke Malaysia selain menarik lebih ramai pelancong Thailand ke Malaysia," katanya kepada media Malaysia sempena lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-35 di Bangkok pada 2 hingga 4 November ini.

Malah Jojie berkata, perkara itu adalah antara isu yang akan dibincangkan oleh Dr Mahathir dalam pertemuan empat mata bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha pada sidang tersebut.

Baht Thailand merupakan mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik dalam kalangan mata wang Asia dan mengukuh lebih daripada 6.0 peratus berbanding dolar US pada tahun ini.

Ia naik sehingga 0.2 peratus pada Jumaat lepas kepada paras 30.228 berbanding dolar US tahap paling kukuhnya sejak Mei 2013.

Di sebalik pengukuhan nilai baht itu sejumlah 2.96 juta rakyat Malaysia berkunjung ke Thailand dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini yang menyumbang sebanyak 75.63 bilion baht kepada perolehan pelancongan.

Maklumat perangkaan terkini Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand menunjukkan ketibaan pelancong Malaysia mencatat pertumbuhan 5.56 peratus kepada 2.96 juta tahun ini daripada 2.80 juta pada 2018.

Perolehan pelancongan bagi tempoh Januari hingga September tahun ini turut meningkat 6.69 peratus kepada 75.63 bilion baht berbanding 70.88 bilion baht tahun lepas.

Mengulas perkara itu Jojie menyifatkan peningkatan bilangan pelancong Malaysia ke Thailand berikutan usaha Thailand yang giat mempromosikan produk pelancongan mereka.

"Tahun depan merupakan Tahun Melawat Malaysia 2020. Kita akan bersama dengan Tourism Malaysia untuk mempromosikan Malaysia dan memperkenalkan produk-produk pelancongan negara,” katanya.

Sejumlah 1.914 juta pelancong Thailand berkunjung ke Malaysia pada tahun lepas dan Malaysia menyasarkan untuk menarik kedatangan kira-kira 2.19 juta pelancong dari negara itu.

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, pelancong Thailand ke Malaysia mencatat pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus merangkumi 990,565 ketibaan pelancong berbanding 951,950 bagi tempoh sama tahun lepas.

Selain itu nilai perdagangan antara Malaysia dan Thailand pada 2018 meningkat sebanyak 13.7 peratus kepada AS$26.12 (RM105.36) bilion daripada AS$22.96 (RM98.65) bilion pada tahun sebelumnya.

Jumlah eksport turut meningkat 19.7 peratus daripada AS$11.76 (RM50.51) bilion pada 2017 kepada AS$14.07 (RM56.77) bilion tahun lepas manakala import menokok 7.5 peratus daripada AS$11.21 (RM48.14) bilion pada 2017 kepada AS$12.04 (RM48.60) bilion pada 2018.

Thailand juga merupakan rakan dagang kelima terbesar dan keenam terbesar dari segi pasaran eksport serta sumber import keenam terbesar untuk Malaysia di peringkat global. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus