BNM lantik Fraziali Ismail sebagai penolong gabenor

Fraziali Ismail -Foto Bernama
Fraziali Ismail -Foto Bernama
A
A
A

BANK Negara Malaysia (BNM) melantik Fraziali Ismail sebagai penolong gabenor menggantikan Donald Joshua Jaganathan, yang akan bersara pada 4 November.

Dalam kenyataan, bank pusat itu berkata, susulan pelantikan tersebut, Fraziali akan bertanggungjawab terhadap bidang pengawasan kewangan, pengawalseliaan berhemat, pengguna dan amalan pasaran, pengawalseliaan perniagaan perkhidmatan wang serta komunikasi.

BNM berkata, Fraziali menyertai bank pusat pada 1994 dan sebelum pelantikannya ini, beliau pernah berkhidmat di jabatan ekonomi dan jabatan dasar monetari.

Beliau memiliki ijazah Sarjana Ekonomi dari London School of Economics & Political Science serta ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol.

Donald, yang bersara selepas 36 tahun bersama BNM, telah berkhidmat dalam beberapa bidang termasuk pengawalseliaan dan penyelarasan perbankan dan insurans, pengawasan kewangan, pengurusan strategik dan kewangan, sebelum dilantik sebagai penolong gabenor pada 2011. - Bernama

Artikel Berkaitan: