Kecut perut basuh baju putih isteri tukar warna pink

Perbezaan baju asal warna putih bertukar warna merah (kiri) dan blaus warna putih. Gambar kanan: Baju berwarna putih bertukar warna merah jambu.
A
A

SHAH ALAM - Seorang suami tergamam apabila dia tanpa sengaja menukar warna baju miliknya isterinya daripada warna putih kepada warna merah jambu.

Perkongsian pelayar Twitter, Adli Amirullah berkata, dia memerlukan bantuan daripada pelayar untuk membantunya menyelesaikan masalah yang dialaminya.

Kedengaran agak lucu, tapi situasi itu membuatkan si suami cemas dan kecut perut bimbang dimarahi isterinya.

"Minta bantuan, saya secara tidak sengaja mencuci blaus putih baru isteri saya dan kini bertukar warna merah jambu!. "Saya belum beritahu dia lagi, cuba selesaikan dulu. TOLONG!," ciapnya.

Pada hantaran yang sama, lelaki itu turut mendedahkan isterinya belum memiliki koleksi blaus berwarna putih dan baju itu baharu dibelinya.

"Lebih menyedihkan, dia beritahu saya semalam, dia sengaja membeli baju putih kerana tiada koleksi blaus putih. "Adakah saya perlu sembunyikan perkara ini atau saya membeli baju sama di kedai, hari ini???," ciapnya yang tular di media sosial.

Setelah perkongsian Adli tular, dia menerima pelbagai cadangan daripada warganet untuk membantu menyelesaikan masalahnya.

"Terima kasih kepada orang ramai kerana membantu. Saya dah rendam blaus dengan klorox dan sabun dan lihat apa yang berlaku. "Jika ia masih sama juga, saya akan ke kedai esok untuk membeli baju baru untuk isteri," luahnya.

Dalam pada itu, Adli juga sempat berkongsi paparan perbualan WhatsApp isterinya yang mencari blaus warna putih itu.

"Sayang tadi saya cari baju baru saya yang awak dah basuh ke belum. Tak jumpa," tulis Adli.

Adli juga memberitahu, baju yang direndamnya itu tidak bertukar berwarna putih walaupun telah direndam klorox dan terpaksa membeli baju baharu.

"Saya cari di Mall (pusat beli belah), saya tawaf-tawaf tak jumpa. Kemudian berjalan je mana-mana kedai dan akhirnya berjaya jumpa baju itu. Ia hanya tinggal satu je! Syukur," katanya.

Antara warganet yang bersimpati yang berkongsi cadangan kepada Adli.

"Kalau warna putih rosak dengan warna lain, jalan penyelesaiannya kena beli baru. Susah kot nak hilang kalau kain putih tercemar," tulis @adrujaMK

"Cuba basuh dengan sabun mandi buku... dan sagat la sabun mandi tu dulu, putar je dalam mesin basuh... cuba rendam sekejap, kemudian basuh macam biasa guna sabun basuh baju...

"Sebelum ini, hari-hari saya bekerja wajib pakai baju putih, pernah baju putih bercampur baju warna merah, mak bagi petua ini," @izzxti_zxti pula.