Wanita kongsi pengalaman nyaris jadi mangsa Scam

Paparan Facebook Amelia Hezeren tular di media sosial.
Paparan Facebook Amelia Hezeren tular di media sosial.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pengusaha butik pengantin berkongsi kisah nyaris menjadi mangsa penipuan sindiket scam bernilai RM3,800.

Amelia Hezeren Amirluddin memuat naik status itu di Facebook miliknya sebelum tular dan menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai kenalannya.

Pada 29 Oktober lalu jam 10.50 pagi, dia memberitahu, individu itu menyamar sebagai Zatty Bakriy.

"Dia call (hubungi) tak dengar, minta dia WhatsApp, dia tak nak. Bila dia call, dia nak tolong kak Amy untuk bantuan dana RM78,000 kepada peniaga-peniaga Melayu.

"Kalau berminat, dia nak tolong mohonkan. Kak Amy cakap dekat dia 'line' tak berapa 'clear' suara macam bergaung boleh tak WhatsApp sahaja?

"Tapi dia cakap macam dalih-dalih tak nak WhatsApp nanti Kak Amy tak faham katanya. Lagipun nak cepat sebab tawaran tutup pukul 11.30 pagi," tulisnya.

Menurut Amelia, individu itu seolah-olah mendesaknya dan meminta butiran peribadi bagi melengkapkan borang permohonan.

"Tanpa ragu-ragu dan fikirkan 'kawan' bagi je apa yang dia minta. Namun lepas itu, 'Zatty' hubunginya semula dan meminta wang deposit sebanyak RM3,800 serta-merta dengan alasan permohonan itu ditutup jam 11.30 pagi.

Artikel Berkaitan:

"Kak Amy beritahu mahu berjumpa lebih senang untuk beri duit tetapi 'Zatty' berdolak dalih dan memaksa memasukkan wang itu ke akaunnya," katanya.

Menyedari dia bakal ditipu, Amelia bertindak bijak menghubungi individu sebenar bagi mendapatkan pengesahan perkara itu.

"Bila tanyakan Zatty ada meminta no akaun dari kak Amy, dia terkejut kerana dia tidak hubungi kak Amy.

"Ternyata la semua tadi tipu belaka. Si penipu tadi mesej nombor akaun yang perlu dimasukkan duit proses tadi tapi saja kak Amy layan bagi tahu nak kena ke ATM sebab hari ini dah 'limit transfer'.

"Dia percaya dan tunggu padahal kak Amy dah ke balai polis buat laporan polis, risau juga esok nama Zatty yang busuk," katanya.

Dalam pada itu dia juga sempat memberi nasihat kepada orang ramai agar berwaspada terutama dalam bidang perniagaan bimbang menjadi mangsa Scam.