156 pembayar cukai buat pengakuan sukarela

LHDN
LHDN
A
A
A

KOTA KINABALU - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Sabah setakat ini merekodkan 156 pembayar cukai daripada pelbagai kategori, membuat pengakuan sukarela di bawah Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS), yang dilancarkan pada November tahun lepas.

Pengarahnya Datuk Hajam Lajah Alam berkata ia melibatkan kutipan cukai sebanyak RM10.1 juta.

“Setakat hari ini, seramai 156 pembayar cukai di Sabah direkodkan membuat pengakuan sukarela sejak PKPS dilancarkan November tahun lepas.

“Semua pembayar cukai diminta hadir ke pejabat LHDN untuk membuat pengakuan sukarela dan kita akan menerima (laporan cukai pendapatan) secara terbuka dan tanpa prejudis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah, hari ini.

Hajam berkata program PKPS itu ditawarkan kepada lima kategori pembayar cukai individu, syarikat, dan organisasi, iaitu mereka yang tidak pernah mendaftar fail cukai pendapatan atau pembayar cukai berdaftar tetapi belum melaporkan pendapatan.

“Selain itu, program ini juga ditawarkan untuk pembayar cukai individu, syarikat dan organisasi yang tidak melaporkan keuntungan pelupusan aset dan gagal menyetemkan surat cara,” katanya.

LHDN menawarkan kadar penalti rendah antara 10 peratus dan 15 peratus kepada mana-mana pembayar cukai yang tampil pembuat pengakuan sepanjang program PKPS berlangsung sehingga 30 Jun tahun ini, dan kadar penalti asal antara 80 peratus dan 300 peratus, akan dikenakan bermulai 1 Julai. - Bernama

Artikel Berkaitan: