X

Kindly register in order to view this article
!

KPLB sasar guru Tabika Kemas miliki ijazah

Rina (depan, empat dari kanan) bergambar dengan peserta selepas merasmikan Program Kemas TaLK 2019 Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas di ibu negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berhasrat meningkatkan profesionalisme bagi guru atau Pemaju Masyarakat di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daripada kelayakan diploma kepada ijazah sarjana muda.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia salah satu strategi di bawah Pelan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PKPPAK 2020-2030).

Katanya, buat masa sekarang terdapat kira-kira 70 peratus atau 9,387 daripada 11,196 orang guru telah memiliki Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

"Sepanjang tempoh 2019 hingga 2023, kementerian menyasarkan seramai 835 orang mengikuti Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

"Itu sasaran bagi tempoh 10 tahun (memastikan guru-guru di Tabika Kemas memiliki ijazah sarjana muda) tetapi untuk bergerak ke arah itu kita kena pastikan semua guru memiliki diploma," katanya ketika berucap merasmikan Program Kemas TaLK 2019 Pendidikan Awal Kanak-Kanak Kemas dan Pelancaran Pelan Kualiti Perkhidmatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2020-2030 di sini semalam.

Beliau berkata, peningkatan profesionalisme yang dirancang itu turut melibatkan Pembantu Pemaju Masyarakat (PPM), Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarelawan (PPMS) dan jurulatih.

"Dalam tempoh 10 tahun antara tindakan yang dirancang dalam PKPPAK ialah mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk jawatan tetap bagi Pembantu Masyarakat, PPM dan menaiktaraf PPMS kepada perjawatan tetap dalam Kemas.

"Di peringkat awal ini, apabila kita melibatkan JPA sudah pasti ia melibatkan soal perkhidmatan, gred dan sebagainya," katanya.

Jelasnya, usaha tersebut bagi memastikan berlaku peningkatan mutu pengajaran dan pembelajaran di Tabika Kemas.

"Kementerian juga akan mengambil pendekatan terbaik kerana anak-anak pada hari inilah yang akan menjadi generasi akan jadi. Justeru, kita bekalkan juga sistem pembelajaran abad ke-21 selaras dengan perkembangan semasa," katanya.

Mengulas mengenai PKPPAK, Rina berkata, ia hasil usaha kementerian dengan kerjasama kajian daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) sejak 2018.

"Terdapat sembilan strategi yang pastinya menambah baik sistem pengajaran dan pembelajaran di Tabika Kemas.

"Menerusi sembilan strategi itu, ada dinyatakan bagaimana usaha kita untuk meningkatkan komitmen ibu bapa dan bagaimana untuk memastikan program yang dijalankan di peringkat Kemas berjaya," katanya.

Menyentuh Program Kemas TaLK 2019 pula beliau berkata, ia acara tahunan yang menyumbang kepada pendidikan awal kanak-kanak berdasarkan kajian, pandangan daripada pihak universiti, korporat, jabatan dan agensi kerajaan.

"Perkongsian ilmu ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan profesionalisme dalam kalangan pendidik awal kanak-kanak tetapi turut meningkatkan kesungguhan semua pihak yang berkepentingan dalam pendidikan awal kanak-kanak," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!