DAP parti semua anak Malaysia, kata Kor Ming

Nga Kor Ming
Nga Kor Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerap dilabel sebagai parti rasis, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming menegaskan DAP bukan parti satu kaum sebaliknya parti semua anak Malaysia.

Menurutnya, tanggapan ramai mendakwa DAP hanya memperjuangkan hak kaum-kaum tertentu adalah kurang tepat.

“Sebenarnya sekarang pun enam negeri yang Pakatan Harapan (PH) perintah, ada orang Melayu dari DAP menjadi Exco Negeri.

“Oleh itu kalau nak kata DAP memihak kepada mana-mana satu kaum, sebenarnya ia adalah persepsi kurang tepat,” katanya pada program Sinar Live di sini petang tadi.

Sementara itu Ahli Parlimen Teluk Intan itu menegaskan sudah tiba masanya Majlis Pimpinan PH menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memantau dan memastikan janji dalam Manifesto PH dapat dilaksanakan.

Sekiranya ada janji yang tidak dapat dilaksanakan, pemimpin PH perlu memberi penjelasan kepada rakyat.

“Dan saya rasa rakyat akan faham situasi sebenar. Contohnya, kerajaan janji nak mansuhkan tol tapi disebabkan skandal kewangan 1MDB dan lain-lain, kerajaan hadapi kekangan kewangan.

“Memang tak boleh buat maka adalah penting pemimpin kerajaan tonjolkan diri, memohon maaf dan ceritakan keadaan sebenar.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin tidak berlaku pada hari esok tetapi ia boleh dilakukan secara berperingkat seperti kita bagi diskaun,” katanya.

Mengulas lanjut, Kor Ming menyatakan bermula tahun depan pengguna Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bakal menikmati diskaun 18 peratus.

“Saya lihat kita berada dalam landasan yang betul. Mungkin tahun 2021, kita boleh beri diskaun 30 peratus.

“Dan akhirnya mungkin dalam penggal kedua, dalam tempoh 10 tahun tol akan dimansuhkan. Itu yang perlu diterangkan kepada rakyat,” katanya.