12 termasuk dua ADUN didakwa sokong LTTE

Sundram (kanan), Thanagaray dan Chandru dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP didakwa atas pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di sini hari ini.

Dua daripadanya iaitu V Sureshkumar dan B Subramaniam didakwa kali pertama hari ini dengan dua pertuduhan mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan bermula jam 9.30 pagi membabitkan ADUN Gadek, G Saminathan, 34; pemandu teksi, V Balamurugan, 37; penghantar surat, S Teeran, 38 dan pengutip besi buruk, A Kalaimughilan, 36.

Kesemua tertuduh kelihatan tenang dan mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Saminathan, Balamurugan, Teeran dan Kalaimughilan didakwa memberi sokongan terhadap kumpulan pengganas LTTE menggunakan laman sosial Facebook dan Youtube.

Saminathan didakwa melakukan kesalahan itu menggunakan Facebook atas nama (Gsami Nanthan Siva); manakala Balamurugan (Balamurugan Veerasamy), Teeran (Tammil Kannamah) dan Kalaimughilan (Kalai Mugilan).

Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat pegawai penyiasat Bahagian C8 (M) Kaunter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman di sini pada 8 dan 9 Oktober lalu.

Kesemua didakwa mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut berdepan satu lagi pertuduhan iaitu memiliki item berunsur perbuatan keganasan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item terbabit.

Kalaimughilan pula berdepan satu pertuduhan lain iaitu memberi sokongan dalam satu majlis di Wisma Tun Sambanthan antara jam 8 malam hingga 11 malam pada 17 Mac 2014.

Dia juga didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE menggunakan YouTube pada jam 10 pagi 2 Jun 2014 di lokasi sama.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad tidak menawarkan jaminan kerana pertuduhan dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) yang tidak membenarkan jaminan.

Bagaimanapun Peguam bela Ram Karpal Singh yang mewakili Saminathan bersama peguam bagi tertuduh lain memohon supaya anak guam mereka dibenarkan jaminan atas budi bicara mahkamah selain pertuduhan mengikut SOSMA adalah tidak berperlembagaan.

Keputusan sama ada jaminan diberi atau tidak ke atas semua tertuduh diketahui esok.

Terdahulu pada 10 Oktober lalu, ADUN dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh yang ditahan di bawah SOSMA selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian polis menahan lima lagi individu dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas berkenaan.

Organisasi itu yang diklasifikasikan sebagai pengganas di Malaysia sejak 2014 malah turut tersenarai sebagai kumpulan pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.