Tidak pelik kalau Pas tukar pendirian: Husam

Husam bercakap ketika merasmikan Bengkel Kepimpinan Sahabat Wilayah Kelantan Utara 2019 di Pasir Tumboh hari ini.
Husam bercakap ketika merasmikan Bengkel Kepimpinan Sahabat Wilayah Kelantan Utara 2019 di Pasir Tumboh hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pas hanya sebuah parti politik yang menggunakan agama Islam dan boleh menukar pendirian sekelip mata sahaja, dakwa Senator Datuk Husam Musa.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu berkata, beliau tidak pelik jika Pas boleh menelan ludahnya sendiri terutamanya melibatkan isu sokongan kepada calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurutnya, sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpesan kepada semua pengundi PRK Cameron Highlands khususnya yang beragama Islam wajib memilih calon yang beriman dan budiman.

"Bagaimanapun, lain pula berlaku di PRK Tanjung Piai apabila Pas juga menyokong calon pilihan Barisan Nasional (BN) iaitu Wee Jeck Seng daripada MCA.

"Pas hanya parti politik yang menggunakan agama. Pas tidak pernah rasa malu dan Pas boleh menukar pendiriannya walaupun akhirnya termakan mereka sendiri," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan Bengkel Kepimpinan Sahabat Wilayah Kelantan Utara 2019 di Pasir Tumboh hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjasama yang terjalin antara Pas dan UMNO kini, Husam berkata, beliau sangat terkejut dengan jawapan kerajaan Kelantan dan Terengganu mengenai tiada 'tempat' kosong lagi untuk BN berada dalam kepimpinan kerajaan.

Beliau berkata, seharusnya perkara tersebut dilihat dengan lebih meluas memandangkan banyak lagi jawatan lain di agensi dan anak syarikat kerajaan negeri boleh diisi oleh mereka daripada BN.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini kita pernah ada dua jawatan timbalan menteri besar, maka tidak pelik kalau kita wujudkan lagi sekali. Kalau jawatan Exco penuh, jawatan timbalan menteri besar masih boleh diisi," katanya.