X

Kindly register in order to view this article
!

Pelukis warga Finland cedera diragut

Seorang pelukis wanita warga Finland diragut ketika bersiar-siar di Jalan Sekerat, Sungai Petani malam tadi.
A
A

ALOR SETAR - Seorang pelukis wanita warga Finland cedera diragut dua lelaki ketika berjalan kaki di Jalan Sekerat, Sungai Petani dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam itu, mangsa berusia 68 tahun cedera di kepala dan luka di tangan akibat terjatuh selepas beg tangan mengandungi pelbagai barangan berharga dan dokumen peribadi diragut.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dihampiri dua lelaki dari arah belakang ketika berjalan kaki di satu lorong sebelum suspek menarik beg tangannya.

"Bagaimanapun, mangsa menarik semula begnya sebelum suspek mengeluarkan sebatang besi dan bertindak memukul di kepala mangsa sehingga menyebabkan mangsa terjatuh," katanya ketika dihubungi di sini.

Adzli berkata, suspek kemudiannya membawa lari wang tunai RM1,700 dan 1,600 euro, kamera, kad kredit, pasport, kad pengenalan diri, telefon bimbit dan lesen memandu.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa datang ke Malaysia bersama rakannya yang juga pelukis untuk menyertai satu pameran lukisan bakal diadakan di Sungai Petani pada 2 November depan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus