Pas NS hantar 100 jentera bantu kempen

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan akan menghantar seramai 100 jentera untuk membantu kempen calon dari parti MCA, Datuk Wee Jack Seng pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Penerangan Pas Negeri Sembilan, Badzli Bakar berkata, pihaknya sudah memulakan persediaan dan menggerakkan serta menyusun tenaga kerja bagi menghadapi PRK terbabit.

“Kita akan menghantar tiga penceramah Pas dari negeri ini iaitu Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, Timbalannya, Hassan Mohammad dan termasuk saya sendiri.

“Ini juga sebagai salah satu tanda sokongan pemilihan Datuk Wee Jack sebagai calon dan kita akan bersungguh membantu beliau berkempen bagi memberi kemenangan kepada blok pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, sokongan itu juga menunjukkan yang Pas bukan parti rasis dan eksklusif untuk agama dan bangsa tertentu sahaja.

Beliau berpendapat, pemimpin MCA itu seorang calon yang berpengalaman sebagai seorang pemimpin di Parlimen berbanding calon lain.

“Kita terbuka malah Pas juga mempunyai sayap parti dari Dewan Himpunan Pendokong Pas terdiri dari mereka yang bukan beragama Islam.

“Sudah tentu jadi harapan kita untuk melihat kemenangan berterusan dapat diraih pembangkang atau berjaya menewaskan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya diadakan,” katanya.

Artikel Berkaitan: