X

Kindly register in order to view this article
!

Wisma Putra pantau kes rakyat Malaysia didakwa dera anak di Norway

7
A
A

KUALA LUMPUR - Wisma Putra mengesahkan sepasang suami isteri rakyat Malaysia sedang menghadapi perbicaraan di Norway berhubung kes penderaan anak di negara itu.

Wisma Putra melalui kenyataan media memaklumkan berhubung laporan akhbar pada Khamis lalu mengenai hak penjagaan lima anak pasangan itu.

Hairi Muhamad dan Norliha Khamis, kedua-duanya berusia 42 tahun dilaporkan hilang hak penjagaan lima anak berusia antara empat dan 16 tahun sejak Mei lalu selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang anak mereka.

Menurut Wisma Putra, perkembangan kes tersebut dipantau pihaknya dan Kedutaan Besar Malaysia di Stockholm, Sweden yang ditauliahkan serentak ke Norway.

"Pihak Kedutaan Malaysia telah menghubungi pasangan berkenaan dan memberikan bantuan khidmat konsular selaras dengan peruntukan Konvensyen Vienna 1963.

"Pihak Kedutaan Malaysia sedang bekerjasama dengan agensi tempatan yang berkaitan bagi memastikan hak dan kebajikan keluarga tersebut dipelihara termasuk memastikan anak-anak mereka ditempatkan bersama keluarga beragama Islam," katanya.

Wisma Putra juga telah mengarahkan pegawai Kedutaan Besar Malaysia itu hadir dan mengikuti perbicaraan kes tersebut yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 November 2019.

Marzuki - Foto fail Bernama
Marzuki - Foto fail Bernama

Memetik laporan portal berita, Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya memaklumkan Wisma Putra sedang mengumpul maklumat berhubung kes tersebut kerana pihaknya belum menerima maklumat lanjut mengenainya.

"Malaysia tidak mempunyai pejabat kedutaan di negara terbabit. Bagaimanapun, kita sudah menghubungi konsulat dan pejabat kedutaan yang berdekatan untuk membantu mendapatkan maklumat lengkap berhubung kes berkenaan.

"Ini bagi mengesahkan sama ada kejadian itu benar-benar berlaku. Jika ia benar maklumat lengkap perlu diperoleh sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus