Lari pakai tuala

A
A
A

ALOR SETAR - Seorang wanita warga Thailand sempat melarikan diri dengan hanya bertuala melalui tangga kecemasan sebuah hotel bajet sebaik sahaja menghidu kehadiran anggota Jabatan Imigresen.

Namun usaha wanita itu gagal apabila berjaya dicekup anggota imigresen dalam Ops Bersepadu di sebuah hotel bajet dekat sini malam semalam.

Pengarah Imigresen Kedah, Zuhair Jamaludin berkata, wanita berkenaan antara tujuh wanita warga asing yang ditahan menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan melakukan aktiviti tidak bermoral.

“Hasil soal siasat mendapati aktiviti tidak bermoral ini dijalankan melalui langganan yang dibuat menggunakan aplikasi MiChat, WeChat dan WhatsApp dengan bayaran RM220 sejam untuk layanan penuh,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, dalam operasi bermula 9.30 hingga 1 malam itu, pihaknya memeriksa 16 warga asing dan daripada jumlah itu seramai sembilan orang ditahan terdiri daripada lima wanita warga Thailand, seorang wanita warga Indonesia serta seorang wanita warga Laos.

Anggota imigresen memeriksa dokumen perjalanan salah seorang wanita yang ditahan dalam operasi terbabit.
Anggota imigresen memeriksa dokumen perjalanan salah seorang wanita yang ditahan dalam operasi terbabit.

“Turut ditahan dua lelaki warga Myanmar. Kesemua yang ditahan berumur antara 23 hingga 30 tahun,” katanya.

Zuhair berkata, siasatan awal mendapati mereka melakukan pelbagai kesalahan bawah Per.39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan dengan bekerja secara tidak sah dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah.

Artikel Berkaitan:

“Kesemua kini ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Imigresen Belantik Sik,” katanya.