X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 27 Jun 2022

Beli tanah di Sungai Buloh dibuat secara profesional: KWSP

logo
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa pembelian tanah di Sungai Buloh oleh anak syarikat milik penuhnya, Kwasa Land Sdn. Bhd pada 2012, dilaksanakan secara profesional.

Dalam kenyataan, KWSP berkata pembelian 944.13 hektar (2,330 ekar) tanah daripada Aset Tanah Nasional Berhad (ATNB), jentera tujuan khas (SPV) milik 100 peratus kementerian Kewangan, dilaksanakan secara saksama bagi membangunkan Kwasa Damansara.

Kwasa Damansara ialah sebuah bandar yang merangkumni pusat perumahan dan komersial serta infrastruktur dan kemudahan awam.

KWSP berkata ia mengikut struktur pelaburan yang ketat dan memerlukannya menjalankan usaha wajar sebelum membuat transaksi.

“Harga pembelian RM2.28 bilion itu adalah berdasarkan nilai pasaran yang adil berikutan lokasinya yang baik antara Kota Damansara dan Sungai Buloh. KWSP tidak mengetahui mengenai sebarang aturan selepas pembelian itu antara Lembaga Getah Malaysia dan ATNB seperti yang dibangkitkan oleh Menteri Industri Utama Teresa Kok,” katanya.

Semalam, Kok berkata pada Oktober 2010, ATNB mengambil alih tanah itu daripada Lembaga Getah Malaysia (MRB) pada kos RM1.5 bilion, yang rendah berbanding nilai pasaran.

Tanah itu kemudiannya dijual kepada KWSP oleh MRB melibatkan RM2.28 bilion pada 2012. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!