UMNO Tanjung Piai sedia bantu kempen Jeck Seng

Jefridin Atan
Jefridin Atan
A
A
A

PONTIAN - UMNO Bahagian Tanjung Piai bersedia memberi sokongan penuh kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada 16 November ini.

Ketua Bahagiannya, Datuk Jefridin Atan berkata, perkara itu sekali gus merangkumi kesemua aspek termasuk bantuan dari sudut jentera dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang telah dibuka.

“Kita tiada masalah dengan perkara ini dan menghormati keputusan pimpinan untuk meletakkan calon daripada rakan komponen kami pada PRK Tanjung Piai ini.

“Calon ini, (Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng) pun bukan orang yang baharu dan memang dikenali, beliau juga sebelum ini memang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai, jadi ia bukan masalah untuk kita bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pengumuman Rasmi Calon BN di Pusat Gerakan Utama BN Tanjung Piai di sini semalam.

Jefridin yang juga Pengarah Operasi BN PRK Tanjung Piai juga turut menafikan dakwaan hampir semua PDM BN yang majoritinya diuruskan UMNO bersedia memboikot kempen PRK kali ini.

"Mana ada boikot. UMNO Tanjung Piai akan memberi sokongan penuh kepada kempen Jeck Seng yang juga rakan baik kami di Tanjung Piai.

“Kita di BN tiada masalah, kita bukan macam mereka (Pakatan Harapan) boleh tidur satu bantal tapi mimpi lain-lain. Muafakat antara kita ini juga sudah diuji lama, kalau tidak setuju saya pun tidak datang hari ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya juga akan memastikan semua perancangan yang dibuat berjalan dengan baik untuk membantu kemenangan parti di kawasan berkenaan.

“Memang sebelum PRK ini lagi kita sudah arahkan semua PDM ini dibuka dan berfungsi,” katanya.

Terdahulu, Jeck Seng yang juga Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai secara sah dipilih sebagai calon mewakili BN pada PRK Tanjung Piai pada 16 November.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad bersama Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong selepas mendapat persetujuan pimpinan seluruh komponen parti.