Rahmatan Lil Alamin bakal dibawa ke peringkat antarabangsa

Syed Hussien (tengah) pada sidang akhbar Pengantarabangsaan Rahmatan Lil Alamin di Kuala Lumpur semalam.
Syed Hussien (tengah) pada sidang akhbar Pengantarabangsaan Rahmatan Lil Alamin di Kuala Lumpur semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak empat universiti terkenal di dunia menjadi destinasi pilihan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi memperkenalkan konsep Rahmatan Lil Alamin di peringkat antarabangsa pada tahun hadapan.

Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussien Alhabshee berkata, universiti yang sedang dalam usaha menjalinkan kerjasama ialah Universiti Harvard, Universiti Stanford, Universiti Colombia dan sebuah lagi universiti di Berkeley.

Menurutnya, penerimaan dunia luar terhadap konsep Rahmatan Lil Alamin menerima reaksi positif masyarakat antarabangsa selepas sesi penerangan termasuk majlis makan malam bersama duta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan pada Februari lalu.

“Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof diundang mengadakan pembentangan konsep tersebut di Universiti Cambridge pada 11 November ini, diikuti undangan daripada kerajaan Azerbaijan pada 15 November.

“Pada Disember ini, MAIWP akan menganjurkan satu majlis makan malam bersama duta-duta negara Asia Pasifik bagi tujuan yang sama,” katanya pada sidang akhbar Pengantarabangsaan Rahmatan Lil Alamin di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Abdul Aziz Jusoh serta Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Shukran Abd Rahman.

Syed Hussien berkata, MAIWP yang diberikan kepercayaan untuk memperkenalkan dan mempromosi gagasan berkenaan di peringkat antarabangsa akan menggunakan saluran OIC, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan agensi kelolaan Kedutaan Arab Saudi yang berpangkalan di Vienna.

Sementara itu, Nordin berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta yang dibentangkan pada Belanjawan 2020 akan digunakan sebaiknya oleh Jakim untuk tujuan promosi di peringkat dalam dan luar negara.

Artikel Berkaitan:

“Jakim juga akan menggunakan medium media termasuk televisyen dan media sosial dalam usaha memasyarakatkan konsep Rahmatan Lil Alamin agar ia difahami oleh semua masyarakat.

"Seramai 219 duta dilantik untuk menyampaikan mesej tersebut melalui televisyen.

“Dalam tempoh terdekat juga, Jakim akan melancarkan sebanyak 10 buah buku berkaitan dalam konteks pendidikan, kebajikan, sosial dan tadbir urus yang akan menjadi panduan kepada seluruh masyarakat. Kita akan tambah penulisan tersebut dari masa ke masa,” katanya.