Dua lagi mesyuarat tahunan Amanah belum selesai

Ridzwan Abu Bakar
Ridzwan Abu Bakar
A
A
A

ALOR SETAR - Amanah Kedah tidak berdepan masalah pembubaran cawangan parti itu di negeri ini, namun dua sayap parti serta empat kawasan diarahkan mengadakan semula mesyuarat tahunan dan pemilihan peringkat masing-masing.

Pengarah komunikasinya, Ridzwan Abu Bakar berkata, sayap yang terlibat adalah Wanita dan Pemuda, manakala kawasan melibatkan Sungai Petani, Padang Terap, Pokok Sena dan Kubang Pasu.

Menurutnya, ia adalah disebabkan beberapa masalah teknikal yang berlaku di peringkat nasional terutama berkaitan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) yang menyebabkan adanya cawangan didakwa ‘luput’.

“Sehingga kini, Pemuda Amanah dan tiga kawasan iaitu Pokok Sena, Sungai Petani dan Padang Terap telah selesai jalankan mesyuarat tahunan dan pemilihan semula dengan tenang.

"Kita tidak nafikan adanya rasa tidak puas hati sama ada berhubung masalah teknikal terbabit atau terhadap keputusan semula, namun secara umum, dapat ditangani dengan baik oleh kepimpinan negeri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ridzwan berkata, mesyuarat tahunan dan pemilihan semula bagi Wanita Kedah dan kawasan Kubang Pasu akan diadakan dalam masa terdekat.

“Dua lagi yang belum selesai akan diadakan dalam tempoh seminggu ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya yakin semua pemilihan cawangan berjalan secara harmoni dan semua kawasan serta sayap akan menjadi perwakilan sah dalam Konvensyen Amanah Kedah, yang dijadual berlangsung 15 November depan.

Artikel Berkaitan:

“Kebanyakan semua peringkat cawangan dan kawasan telah selesai adakan mesyuarat tahunan masing-masing, akhir September lalu,” katanya.

Ridzwan berkata, Amanah Kedah mempunyai 15 kawasan, dua sayap (Wanita dan Pemuda) serta lebih 200 cawangan di Kedah.

Pada 21 Oktober lalu, Amanah Kawasan Kangar berkemungkinan terbubar berikutan kesemua jawatankuasa parti peringkat cawangan bertindak membubarkan cawangan.

Bekas Ketua Amanah Kawasan Kangar yang juga Ketua Amanah Cawangan Kampung Syed Omar, Mokhtar Che Kassim berkata, tindakan itu dibuat selepas kesemua cawangan terbabit merasakan berlakunya penyelewengan dalam pemilihan semula Jawatankuasa Kawasan Kangar.

ARTIKEL BERKAITAN: Amanah Kangar bakal terkubur?