X

Kindly register in order to view this article
!

Tambah baik undang-undang berkaitan keselamatan data: Gobind

Gobind Singh Deo
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang menambah baik undang-undang berkaitan keselamatan data sedia ada untuk diperkukuh dan diperketatkan lagi selaras dengan cabaran serta ancaman siber yang dihadapi rakyat ketika ini.

Merujuk kepada insiden penggodaman sistem pembayaran dalam talian, portal e-pay milik Universiti Malaya (UM) Khamis lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, penambahbaikan juga bersesuaian dengan perkembangan teknologi baharu sebagai satu daripada usaha menjamin keselamatan data.

“Di negara kita, kita ada undang-undang yang memang telah diguna sejak 2010 dan saya rasa memang kita sudah sampai satu tahap yang kita perlu memperbaiki undang-undang itu.

“Pada saya undang-undang yang ada sekarang boleh dikuatkuasakan tetapi pada masa yang sama kita perlu melihat bagaimana kita boleh melaksanakan pindaan-pindaan untuk kita perkukuh dan perketat undang-undang sedia ada supaya sesuai dengan cabaran dan ancaman yang kita lalui sekarang,” katanya.

Gobind berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 bagi pihak kementeriannya di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa pihaknya kini dalam proses mengkaji undang-undang sedia ada supaya satu undang-undang pindaan baharu dapat dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang selewat-lewatnya antara Mac atau Mei depan.

“Saya dalam proses tambah baik peruntukan sedia ada supaya dapat atasi masalah keselamatan siber dan keselamatan data,” katanya.

Mengenai usaha merakyatkan ekonomi digital, Gobind berkata kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melalui program eUsahawan dan platform GoeCommerce telah memanfaatkan 306,849 usahawan untuk menjalani kursus berkaitan.

“Kami menyediakan peluang latihan dan kandungan kepada usahawan mikro dan belia untuk menimba pengetahuan dalam keusahawan digital yang merangkumi ilmu pemasaran melalui media sosial, e-marketplaces, analisis data, pembayaran dalam talian, pengiklanan digital dan keselamatan siber,” katanya.

Gobind turut memaklumkan bahawa daripada jumlah itu, seramai 107,558 usahawan berjaya menjana jualan tambahan dalam talian dengan jumlah terkumpul sebanyak RM586 juta.

Merujuk kepada cadangan penubuhan Majlis Khas Ekonomi Digital, Gobind menyambut baik cadangan itu namun ketika ini pihaknya mahu menumpukan kepada Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (ICM) bagi membincangkan topik berkaitan ekonomi digital. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!