Bayar RM400,000 untuk pasport

Saksi warga China mendedahkan membayar RM400,000 untuk mendapatkan pasport dan MyKad.
Saksi warga China mendedahkan membayar RM400,000 untuk mendapatkan pasport dan MyKad.
A
A
A

GEORGE TOWN - Seorang ahli perniagaan warga China memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau membayar sebanyak RM400,000 untuk memiliki pasport dan MyKad warga Malaysia.

Wang De Qun, 58, berkata, beliau bersetuju dengan pembayaran tersebut dan mahu membuat pasport warganegara Malaysia bagi tujuan pelaburan.

Saksi pendakwaan itu memberitahu mahkamah pada prosiding deposisi kes enam individu yang berdepan pertuduhan mengeluar dan menjual sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Individu berkenaan ialah Penolong Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Pulau Pinang, Mohd Faizul Arifin, 34; Mohd Faizal Tan Abdullah, 66; Yap Cheng Wah, 43; Loh Chan Cheong, 34; Chien Guan Chai, 36, dan ahli perniagaan, Datuk Lai Chin Wah, 56.

De Qun berkata, urusan memperoleh pasport Malaysia itu diperkenalkan oleh seorang lelaki warga Thailand yang dikenali Liwge.

De Qun berkata. bagi urusan mendapatkan pasport itu beliau bertemu tertuduh, Chin Wah pada Disember lepas.

“Pada pertemuan dengan Chin Wah, saya telah dibawa ke sebuah hotel. Selepas itu saya di bawa ke sebuah bangunan kerajaan.

“Di sana saya dibawa ke bilik seorang pegawai di tingkat 3 dan diminta menurunkan tandatangan dalam beberapa helaian dokumen yang saya tidak ketahui isi kandungannya,” katanya yang turut mengesahkan pegawai yang dimaksudkan itu ialah Mohd Faizul.

Artikel Berkaitan:

De Qun berkata, pada Mac lepas, Chin Wah menghubunginya dan memaklumkan pasportnya telah siap dan beliau datang semula ke Pulau Pinang untuk mengambil pasport tersebut.

Mohd Faizul, Mohd Faizal Tan, Cheng Wah, Chan Cheong dan Guan Chai masing-masing mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 26E Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 manakala Chin Wah turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan mengikut seksyen yang sama. - Bernama