Hargai alam sekitar kita

A
A

DALAM Surah al-Rum, ayat 41, ALLAH telah berfirman yang bermaksud: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Ayat di atas jelas menyatakan bahawa kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah berpunca daripada kita sendiri. Malah kebimbangan itu telah dinyatakan dari awal oleh malaikat ketika ALLAH memaklumkan kepada mereka tentang penciptaan manusia sebagaimana dalam Surah al-Baqarah, ayat 30: “Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: ‘Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi’. Mereka berkata: ‘Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.”

Memang benar terdapat sebahagian manusia di muka bumi ini yang boleh dianggap makhluk perosak. Masih ingat peristiwa Sungai Kim Kim di Pasir Gudang baru-baru ini? Sungai tercemar dan ramai pelajar yang menderita kesan keracunan udara. Masih ingat runtuhan tanah di Bukit Antarabangsa pada tahun 2008? Perasan tak cuaca sekarang tidak menentu. Hujan lebat dan ribut yang melanda sehingga menyebabkan banjir kilat?

Semasa saya kecil-kecil dulu, saya masih ingat lagi ketika berjalan pada waktu tengah hari ketika pulang dari sekolah, kepanasan matahari tidaklah membuatkan saya terasa sangat kehangatannya. Pada ketika itu tiada kebimbangan untuk bermain atau bersukan pada waktu matahari sedang tegak atas kepala. Tiada kerisauan tentang strok haba. Sangat indah hidup dalam suasana yang nyaman.

Malah sungai-sungai penuh dengan air. Kebetulan pula rumah saya di tepi sungai. Airnya jernih. Boleh nampak ikan yang sedang bermain-main malah pelbagai hidupan sungai lain seperti belut pun saya boleh lihat.

Melihat kepada semakin banyaknya sungai yang tercemar, kerapnya banjir kilat, setiap tahun dilanda jerebu, malah kejadian tanah runtuh yang tidak pernah mengecualikan dirinya bila tiba musim hujan, sayugia kita semua mengambil sikap untuk menyayangi dan memelihara alam ini.

Dalam konteks penjimatan air, saban hari saya terdengar di radio kempen tentang penjimatan air. Malah saya perasan akhir-akhir ini saya dapat lihat dalam kebanyakan tandas awam ada peringatan seperti ‘Jimatkan air’, ‘Jangan membazir’ dan ‘Every drop count’. Semua itu adalah salah satu usaha untuk menyedarkan pengguna air bahawa air bersih sekarang ini sudah mula berkurang.

Malah dalam Islam kita diajar supaya berjimat dalam penggunaan air walaupun ketika berwuduk. Tetapi berapa ramai antara kita yang ambil perhatian dalam hal ini? Walaupun dalam al-Quran ada dinyatakan bahawa orang yang membazir itu sahabat syaitan, kita dapati ramai lagi yang suka mengambil wuduk dengan membuka air sebesar-besarnya seperti hendak mandi gayanya.

Dalam konteks kebersihan pula, kempen kebersihan serta pengasingan sampah sudah lama dibuat. Tetapi, masih ramai yang tidak ambil kisah tentang perkara tersebut.

Perkara itu terjadi kerana kita tidak merasakan kita bertanggungjawab menjaga alam ini. Kita tidak merasakan sampah yang kita buang itu akan dihisab oleh ALLAH. Kita tidak ingat bahawa setiap amalan kita tetap dicatat dan dihisab walau sebesar zarah sekalipun. Apakah kita mahu ALLAH lemparkan kita dalam dalam dunia yang penuh kekotoran sehingga tiada lagi tempat bersih baru kita nak mula menyesal?

Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Kita perlu berubah dari sekarang, meskipun untuk kembalikan alam ini seperti dahulu adalah suatu yang hampir mustahil, tetapi paling tidak kita dapat mencegah kerosakan yang lebih teruk.

Antara usaha pihak berkuasa untuk menyedarkan dan mengajak rakyat Malaysia menyayangi alam sekitar ialah sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN). Sambutan HASN telah diadakan senjak 2016. Pada tahun ini, HASN Peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 19 Oktober 2019 dengan tema ‘Alam Sekitar Tanggungjawab Bersama’. Sambutan kali ini dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim melalui Jabatan Alam Sekitar bersama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Akhir kalam, sayangilah alam sekitar kita! Wallahu a’lam.

*Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.