Mahkamah tangguh pendengaran rayuan Utusan Melayu, bekas wartawan

Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini menangguhkan pendengaran rayuan oleh Utusan Melayu (M) Berhad dan bekas wartawannya dalam dakwaan fitnah yang difailkan oleh peguam veteran, Manjeet Singh Dhillon.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon penangguhan pendengaran rayuan di hadapan panel lima anggota yang dipimpin oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata, ini memandangkan Utusan Melayu telah diletakkan di bawah pembubaran sukarela pemiutang dengan pelikuidasi sementara yang dilantik.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak diminta untuk mewakili Utusan Melayu dalam rayuan hari ini tetapi beliau diminta untuk hadir bagi syarikat itu hari ini untuk mendapatkan penangguhan jangka pendek rayuan itu.

Peguam Americk Singh Sidhu mewakili Manjeet Singh membantah penangguhan mengatakan bahawa Muhammad Shafee mempunyai kuasa untuk bertindak untuk Utusan Melayu.

Hakim Tengku Maimun membenarkan penangguhan itu dan menetapkan 12 November untuk pengurusan kes.

Panel lain bersama beliau ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Idrus Harun, Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat and Datuk Abdul Rahman Sebli.

Pada 26 September 2011 Manjeet Singh memfailkan tuntutan fitnah RM2.5 juta terhadap bekas Ahli Parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan, bekas wartawan Raja Syahrir Abu Bakar, Utusan Melayu dan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3) berhubung dengan wawancara Gobalakrishan dengan media pada 16 Ogos 2011.

Dalam pernyataan tuntutannya beliau berkata bahawa Gobalakrisnan telah membuat kenyataan menghina terhadapnya.

Pada 11 September 2015, Manjeet Singh memenangi samannya terhadap Gobalakrishnan, Raja Syahrir dan Utusan Melayu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tetapi samannya terhadap TV3 telah ditolak.

Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Nor Bee Arifin (sekarang hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan Utusan Melayu dan Raja Syahrir membayar ganti rugi RM200,000 dan Gobalakrishnan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 kerana memfitnah Manjeet. Walau bagaimanapun, beliau tidak menemui sebarang kes terhadap TV3.

Pada 13 Mac tahun lepas Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan TV3 membayar ganti rugi RM200,000 kepada Manjeet Singh. TV3 tidak merayu terhadap keputusan ini.

Bagaimanapun mahkamah rayuan menolak rayuan oleh Gobalakrishnan, Utusan Melayu dan Raja Syahrir dan mengesahkan perintah Mahkamah Tinggi. Gobalakrishnan telah memfailkan penangguhan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Pada 24 Julai tahun lepas Utusan Melayu dan Raja Syahrir mendapat penangguhan untuk merayu kepada Mahkamah Persekutuan.

Americk Singh memberitahu pemberita bahawa rayuan itu telah ditangguhkan tiga kali. - Bernama