X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Penganggur menangis bebas tuduhan edar dadah

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur menitiskan air mata selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 77.97 gram.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi X Wilfred, 20, di akhir kes pembelaan.

"Saya dengan ini memutuskan bahawa tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah mengenai pemilikan dadah tersebut seperti mana tuduhan maka dengan ini saya memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan itu," katanya.

Dalam penghakimannya Rozana berkata, beliau telah menyemak pembelaan tertuduh dan mendapati dadah tersebut bukan milik lelaki itu tetapi kemungkinan milik abang iparnya SK Johnson.

"Walaupun tertuduh tidak membangkitkan watak Johnson semasa siasatan awal tetapi tertuduh telah membangkitkan seawal kes pendakwaan dan saya mendapati peranan Johnson ini telah dibangkitkan oleh tertuduh kepada saksi pendakwaan (SP) ketujuh (pegawai polis) semasa tangkapan mengejar Johnson," katanya.

Beliau berkata, pihak pendakwaan pula menegaskan Johnson tidak wujud sama sekali dan kewujudannya adalah satu entiti yang direka tertuduh.

"Walau bagaimanapun pihak pembelaan telah mengemukakan bukti bahawa Johnson sememangnya wujud menerusi keterangan saksi-saksi (pendakwaan).

"Kejadian Johnson melarikan diri daripada ditangkap polis secara munasabahnya membawa Johnson mengetahui tentang kewujudan dadah tersebut di dalam kereta," kata Hakim Rozana.

Lelaki itu didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 77.97 gram di lorong sebelah pasar mini di Jalan Gelugor di sini pada jam 12.50 tengah hari 6 Oktober 2017 mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 17 Jun lepas Mahkamah Tinggi memerintahkan tertuduh untuk membela diri atas pertuduhan tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed manakala tertuduh diwakili peguam V Jayamurugan dan Mohd Saifullah Mohd Azmi. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!