Kerajaan hadkan pengambilan pengawal keselamatan warga Nepal: Muhyiddin

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (tengah) hadir pada Majlis Perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian sempena Taklimat Pembaharuan Lesen Agensi Persendirian Bagi Tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Alwi Ibrahim (kiri) dan Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PKIM) Datuk Seri Ramli Yusuff (kanan). - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menghadkan dasar pengambilan warga asing untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dasar dihadkan kepada warga Nepal sahaja.

"Saya ingin mengingatkan bahawa dasar ini hanyalah bersifat sementara," katanya.

Menurutnya, industri perkhidmatan kawalan keselamatan tidak seharusnya bergantung kepada pekerja asing.

"Pihak industri hendaklah mengadakan usaha untuk menarik minat lebih ramai tenaga kerja tempatan untuk bekerja dalam sektor ini dengan menawarkan pakej latihan, saraan dan imej profesion kawalan keselamatan yang lebih menarik," katanya.

Beliau berkata, penggunaan teknologi terkini dalam industri kawalan keselamatan akan meningkatkan kecekapan selain mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Secara tidak langsung, penggunaan teknologi terkini juga akan menyediakan peluang-peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada warga tempatan.

"Ia sekali gus menyumbang kepada matlamat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat seperti yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Bersama yang merupakan dasar teras kerajaan," katanya dalam ucapan sempena perjumpaan bersama industri perkhidmatan kawalan keselamatan dan agensi persendirian.

Muhyiddin berkata, KDN mengambil berat prestasi syarikat perkhidmatan kawalan keselamatan di negara ini.

"Syarikat-syarikat kawalan keselamatan hendaklah sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelakkan daripada melalukan sebarang kesalahan yang serius seperti menggunakan khidmat pengawal keselamatan warga asing secara haram," katanya.

Menurutnya, sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang, maka KDN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

"Sejak tahun 2013 sehingga kini, KDN telah membatalkan lesen 62 buah syarikat kawalan keselamatan atas pelbagai kesalahan seperti menggaji pengawal keselamatan dalam kalangan pendatang asing tanpa izin, syarikat gagal membuat tapisan keselamatan ke atas kakitangan syarikat, penggunaan kad pengenalan palsu dan kesalahan yang melibatkan senjata api.

"Saya berharap agar kesalahan-kesalahan ini tidak diulangi lagi kerana ia pastinya membawa kerugian kepada syarikat selain mendatangkan ancaman keselamatan kepada orang ramai," katanya.

Perjumpaan bersama Menteri KDN yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dihadiri lebih 3,000 wakil kementerian, agensi kerajaan, ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan syarikat kawalan keselamatan.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Awal Ibrahim dan Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia, Datuk Seri Ramli Yusuff.