Produk kosmetik langgar peraturan bakal dikenakan kompaun

Dr Dzulkefly - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan kompaun berkaitan produk kosmetik yang tidak mematuhi peraturan pada tahun 2020.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, antara kesalahan yang bakal dikenakan kompaun adalah penggunaan bahan terlarang dalam produk kosmetik, pemasaran kosmetik yang tidak mematuhi pelabelan dan pengisytiharan palsu.

"Mereka yang menyiarkan iklan kosmetik yang tidak mematuhi garis panduan juga akan dikenakan kompaun.

"Itu tindakan kami untuk wartakan langkah mengenakan kompaun pada tahun depan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, Dr Dzulkefly berkata, kadar kompaun yang bakal dikenakan terhadap kesalahan- kesalahan itu masih dipertimbangkan.

“Kita sedang pertimbangkan. (Kadar minimum?) Itu kita isytiharkan kemudian,” katanya.

Selain kompaun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga akan meneruskan tindakan menyenarai hitam jenama produk tertentu secara spesifik.

“Tindakan itu dibuat supaya produk itu tidak dijual sama ada secara online atau offline di pasaran supaya pengusaha tidak ulangi kesalahan dulu.

“Kami juga pertimbangkan untuk menekankan amalan pengilangan terbaik (good manufacturing practice).

"Itu tiga langkah yang akan kami isytiharkan dalam waktu terdekat supaya kita dapat kawal kosmetik ini,” katanya.