Khazanah tak berminat jual PLUS

Khazanah Nasional Bhd
Khazanah Nasional Bhd
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dana kekayaan berdaulat negara, Khazanah Nasional Bhd tidak berminat untuk menjual PLUS Malaysia Bhd, syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia.

Pengarah urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, Khazanah yang memiliki 51 peratus kepentingan dalam PLUS mengekalkan pendiriannya untuk tidak menjual pegangannya dalam PLUS.

"Kami tidak berminat untuk menjual aset tersebut dan kami sebenarnya tidak mendapat apa-apa jenis proses bidaan," katanya kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Korporat Permodalan Nasional Bhd (PNB) 2019 di sini hari ini.

Shahril Ridza berkata, beliau juga sama seperti Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat semua tawaran tidak menarik.

"Tun (Dr Mahathir Mohamad) telah menyatakan bahawa tiada tawaran yang menarik. Oleh itu, saya berpegang kepada (kenyataan) itu," katanya.

Berita hari ini menyatakan Widad Business Group Sdn Bhd telah menaikkan tawarannya untuk memperoleh 100 peratus kepentingan ekuiti dalam PLUS dengan jumlah nilai perusahaan sebanyak RM38.34 bilion.

Ini termasuk RM5.3 bilion untuk kepentingan ekuiti, pengecualian pampasan sebanyak RM3.04 bilion dan andaian hutang sebanyak RM30 bilion.

Tawaran lain untuk PLUS adalah daripada ahli perniagaan, Tan Sri Halim Saad bersama dengan rakan niaga, Datuk Wong Gian Kui yang merancang untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan dalam PLUS dengan nilai RM5.2 bilion.

Artikel Berkaitan:

Maju Holdings Sdn Bhd, pengendali Maju Expressway juga telah mengemukakan tawarannya untuk memperoleh PLUS dengan nilai perusahaan sebanyak RM34.9 bilion termasuk hutang PLUS kepada pemegang bonnya. - Bernama