Myalert bantu banteras dadah

Salmee (berdiri, tiga kanan) bergambar bersama penerima kerusi roda Jambiah Syawal, 74, yang mengalami masalah saraf.
Salmee (berdiri, tiga kanan) bergambar bersama penerima kerusi roda Jambiah Syawal, 74, yang mengalami masalah saraf.
A
A
A

KODIANG - Usaha Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melancarkan aplikasi Myalert dilihat membantu membanteras gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar.

Exco Pendidikan, Dr Salmee Said berkata, dengan adanya aplikasi berkenaan, ia dapat membantu orang ramai terutamanya pelajar dan ibu bapa dalam mengenalpasti gejala, jenis dadah dan tindakan yang boleh dikenakan.

“Saya juga difahamkan AADK dalam perancangan menambah baik aplikasi berkenaan untuk memudahkan maklumat dan aduan disalurkan terus kepada AADK melalui Myalert terbabit.

“Ia sekali gus membantu mempercepatkan tindakan diambil terhadap penagih yang terlibat,” katanya ketika ditemui di rumah salah seorang penerima sumbangan kerusi roda dalam Dun Kota Siputeh di Kampung Kodiang Lama Dalam, semalam.

Salmee berkata, kerajaan negeri juga akan mempergiatkan kerjasama dengan AADK negeri dalam mengekang gejala penagihan dadah dalam kalangan pelajar.

Malah katanya, pejabat Parlimen dan Dun digalak untuk melibatkan AADK dalam setiap program komuniti yang dianjurkan.

“Selain tindakan di sekolah, ibu bapa juga perlu diberi pendedahan dan penerangan tentang penyalahgunaan dadah ini.

“Peranan dan kasih sayang ibu bapa pun penting, mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak-anak berkawan. Dan ibu bapa harus bijak dalam mengenalpasti adakah anak mereka juga terlibat dalam najis dadah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan rekod, seramai 3,246 pelajar sekolah menengah menjalani saringan ujian urin di sekolah tahun lalu.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 190 pelajar dikenalpasti positif dadah dan kebanyakannya mengambil dadah jenis metamfetamin.

Sebelum ini, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah dalam kenyataannya berkata, seramai 1,709 pelajar sekolah menengah di 178 kawasan berisiko tinggi didapati positif dadah setakat Oktober.

Katanya, Kedah adalah antara negeri merekodkan peratusan pelajar paling tinggi terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

Terdahulu, Salmee menyampaikan kerusi roda, lampin pakai buang dan tongkat kepada 14 penerima di beberapa kampung dalam Dun Kota Siputeh.