Polis mohon bon mahkamah ke atas Lokman Adam

Huzir menunjukkan lampiran hasutan di laman sosial pada sidang media di Bukit Aman hari ini. - Foto: Zahid Izzani
Huzir menunjukkan lampiran hasutan di laman sosial pada sidang media di Bukit Aman hari ini. - Foto: Zahid Izzani
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon bon mahkamah ke atas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam supaya beliau 'mengawal' kenyataannya di laman sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya akan berbincang dengan pegawai pendakwa raya untuk mengenakan syarat tambahan ke atas jaminan Lokman berhubung satu kes yang dituduh di mahkamah baru-baru ini.

"Kita mahu mengingatkan beliau supaya sentiasa 'mengawal' kenyataan yang boleh mengganggu keamanan, ketenteraman dan keharmonian," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Huzir berkata, pihaknya mendapati sebanyak 17 kertas siasatan pelbagai kes telah dibuka ke atas Lokman.

"Sebanyak 10 kertas siasatan ke atas Lokman disiasat oleh polis kontinjen negeri dan tujuh kes siasatan terhadap dirinya pula di bawah Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman.

"Kita mendapati banyak kenyataannya berunsur provokasi yang boleh menyebabkan perpecahan, mengganggu ketenteraman awam dan keamanan negara," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mendapati kenyataan terbaharu pemilik akaun Facebook 'Lokman Adam SSR' yang menghasut Parlimen dibubarkan.

"Kita telah menerima laporan polis berkaitan kes itu pada 27 Oktober lalu dan membuka kertas siasatan mengikut Akta Hasutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, Huzir memaklumkan, pihaknya turut menyiasat laporan polis berhubung seorang individu yang memuat naik kenyataan yang mempertikaikan tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) terhadap kaum India.

"Kita juga sedang mengenal pasti komen pada Facebook itu kerana kenyataan terbabit merupakan satu kesalahan mengikut akta sedia ada," katanya.