Lebuhraya Tangerang-Merak nyaris ragut nyawaku...

Sebahagian sukarelawan NGO Malaysia dan Indonesia sempat merakam gambar kenangan sebelum memulakan misi penyerahan bantuan di sekitar daerah Labuan, Banten.
A
A

JAKARTA - INDONESIA . Penghujung 2018 ternyata memberi ujian hebat buat saya dan pasukan sukarelawan Serantau Muslim ketika Misi Bantuan Kecemasan Tsunami Selat Sunda.

Jika dimbas ia menjadi penutup dan pembuka tahun yang penuh bermakna malah saya anggap ini teguran daripada ALLAH SWT buat diri saya.

Kejadian itu benar-benar membuka mata saya dan tanpa putus mengucapkan puji syukur ke atasNya kerana masih diberi peluang kedua.

Tragedi kemalangan kereta di kilometer 53 Lebuhraya Tangerang-Merak pada 28 Disember lalu memang tidak akan dilupakan.

Kenderaan MPV yang kami naiki terbabas sebelum terbalik di tepi jalan kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

Pada 27 Disember 2018 itu, perjalanan pulang kami dipercepatkan daripada jadual selepas dinasihatkan meninggalkan kawasan tersebut susulan amaran gelombang kedua tsunami dikeluarkan pemerintah pada pagi itu.

Segala urusan dipercepat dan cuba diselesaikan sebelum jam 9 malam kerana kami perlu bertolak ke Jakarta malam itu juga.

Ketika kejadian rakan wartawan TV Al-Hijrah, Nur Hashimah Ismail; duta Serantau Muslim, Dai Afiqah; dan sukarelawan, Fazidatul Ain Ramli sudah tertidur akibat keletihan bertugas sepanjang hari sejak awal pagi lagi.

Hujan kerap turun sepanjang misi kami.
Hujan kerap turun sepanjang misi kami.

Sementara ketua misi, Ustaz Shamsul Anwar M.Busra; jurukamera, Mohd Safian Shamsudin dan sukarelawan Serantau Muslim, Mohd Faeez Azhar menaiki kenderaan berasingan.

Saya memang tidak dapat melelapkan mata dan berbual sepanjang jalan dengan pemandu gantian, Mas Naufal yang juga sukarelawan NGO Indonesia.

Sementara pemandu kami sejak tiba di Jakarta 26 Disember lalu, Pak Asep sudah lena di sebelah pemandu kerana tidak sihat sejak petang itu. Pak Asep batuk tanpa henti kemungkinan berpunca daripada hujan abu yang dilaporkan turun di kawasan sekitar Banten.

Entah macam mana selepas hampir dua jam perjalanan saya merasa terlalu pening kepala melihat cahaya lampu kenderaan dari hadapan, akhirnya saya yang duduk di belakang Pak Asep menyandarkan kepala sebelum sambung berbual dengan Mas Naufal.

Baru saja saya menutup mata tiba-tiba saya terasa kereta sudah senget ke kiri seolah-olah melalui jalan yang tidak rata kemudian kedengaran dentuman kuat sebelum saya terasa melambung ke atas.

Kemudian bahagian bawah kereta bergesel dengan jalan raya sebelum akhirnya kereta terbalik beberapa kali dengan bunyi hon yang begitu membingitkan telinga.

Setelah kereta berhenti bergerak, semuanya gelap, senyap. Tiba-tiba saya mendengar dengan jelas suara Pak Asep menyebut 'Allahuakbar' tanpa henti. Barulah saya sedar kami kemalangan. Semuanya berlaku terlalu pantas.

Rasa sakit mula terasa di bahagian kepala kiri kerana terhantuk beberapa kali ditambah sakitnya kerana ada yang menghimpit di kepala...terasa basah, sejuk ketika itu. Terus terbayang mak dan abah di kampung. Saya tanya dalam hati, "aku tak dapat jumpa mak abah lagi ke?"

Saya dapat merasakan badan saya tersangkut di kerusi penumpang hadapan dengan kepala di bawah menekan cermin tingkap. Bersyukur saya sempat memakai beg sandang di bahagian hadapan beberapa minit sebelum kemalangan kerana kesejukan.

Keadaan kereta Pak Asep yang terbabit dalam kemalangan itu.
Keadaan kereta Pak Asep yang terbabit dalam kemalangan itu.

Pak Asep sempat bertanya kepada saya dengan suara terketar-ketar, "kamu enggak apa-apa? Apa kamu baik-baik saja? Saya enggak bisa turun ini."

Selepas mencuba beberapa kali, kami akhirnya berjaya melepaskan diri daripada tersepit antara bumbung kereta dan kerusi penumpang hadapan.

Afiqah, Ain, Shima dan Mas Naufal juga sudah berjaya keluar. Jelas kelihatan wajah Mas Naufal ketakutan dan wajah tiga rakan saya terkejut, pucat.

Ramai pengguna jalan raya yang berhenti untuk membantu. Alhamdulillah dengan bantuan pantas Kak Lina dan suaminya yang juga sukarelawan baru pulang dari Banten menghantar bantuan, kurang setengah jam ambulans dan polis tiba di lokasi kemalangan.

Saya dan Shima menaiki pacuan empat roda Kak Lina ke hospital sementara Ain dan Afiqah menaiki ambulans.

Dalam perjalanan, Kak Lina menunjukkan sebelah kiri kami, "syukur dik kejadiannya di situ bukan di sini. Di sini ada pembahagi jalan, sering kereta jatuh ke dalam (gaung) itu."

Allahuakbar! Jaraknya kurang 1 kilometer. Sangat hampir, nyaris! Mungkin benar kata mereka, ALLAH dakap kami, lindungi kami, tanpa setitik pun darah kami mengalir.

"Pasti ada doa atau amalan baik kalian yang menyelamatkan kalian hari ini," kata Kak Lina yang turut menemani kami di hospital sehingga Ustaz Syamsul dan lain-lain tiba.

Kalau melihat keadaan kereta, siapa sangka kami mampu keluar dari kereta itu sendiri tanpa dibantu, tanpa sedikit pun luka.

Selepas pemeriksaan dan menerima rawatan di Rumah Sakit Hermina Bitung kami dibenarkan pulang jam 5 pagi dan perjalanan diteruskan ke Jakarta sebelum pulang ke Malaysia, jam 10 malam itu.

Malangnya sehingga kami pulang ke tanah air, kami tidak berkesempatan bertemu dengan Pak Asep. Secara peribadi saya bimbang dengan kesihatan Pak Asep yang sudah berusia 62 tahun.

Masih terbayang bagaimana wajah sayu Pak Asep melihat kenderaan yang digunakan sebagai mata pencarian keluarganya rosak teruk.

Keadaan kereta Pak Asep yang terbabit dalam kemalangan itu.
Keadaan kereta Pak Asep yang terbabit dalam kemalangan itu.

Dalam perbualan sepanjang jalan dengan Pak Asep sebelum ini, dia ada beritahu saya kereta itu baru dibeli untuk membawa pelancong bagi menyara keluarganya.

Semoga rezeki Pak Asep dimurahkan dan dipermudahkan urusannya dalam membaiki kereta yang menjadi sumber rezeki keluarganya itu.

Saya berjaya menghubungi Pak Asep dan Alhamdulillah dia tidak cedera cuma demamnya masih belum kebah.

Trauma, terkejut, takut itu pasti ada tapi saya bersyukur ia berlaku selepas amanah rakyat Malaysia berjaya disampaikan kepada mangsa tsunami yang begitu memerlukan bantuan saat ini.

Masih terbayang pandangan sayu mereka menyambut kedatangan kami. Hulurkan sumbangan anda semampunya di bantuankecemasan.com untuk mereka meneruskan hidup selepas kehilangan segala-galanya dek amukan Anak Krakatau, 22 Disember lalu.

Gambar kenangan kami bersama Pak Asep ketika berhenti makan tengah hari di Cilegon, Banten sebelum kami terpaksa berpatah balik susulan banjir melanda Anyer.
Gambar kenangan kami bersama Pak Asep ketika berhenti makan tengah hari di Cilegon, Banten sebelum kami terpaksa berpatah balik susulan banjir melanda Anyer.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia