Buruh tak mengaku tetak bapa, tumbuk kakak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini atas dua pertuduhan mencederakan ahli keluarganya Ahad lalu.

Tertuduh, J Suresh atau nama Islamnya, Muhammad Khairul Abdullah, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Bapa kepada dua anak itu didapati dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan kepada bapanya, K Jeyaraman, 61, dengan sebilah parang.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Muhibbah jaya, Sungai Siput kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama yang membawa hukuman penjara 10 tahun atau denda atau dengan sebat, atau mana-mana dua hukuman berkenaan.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu penjara hingga dua kali ganda daripada hukuman penjara dikenakan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia juga didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada kakak kandungnya, J Premma, 38, dengan menumbuknya di tempat dan pada tarikh yang sama.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Izwani Ahmad Jalaludin.

Rohaida kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan tidak boleh mendekati atau mengganggu mangsa.

Beliau turut menetapkan 13 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.