X

Kindly register in order to view this article
!

Matrade bantu 10 syarikat tempatan promosi produk mereka di Jepun

Matrade di Tokyo akan mengaturkan siri padanan B2B untuk syarikat Malaysia di negara matahari terbit itu.
A
A

KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang berusaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport bagi syarikat Malaysia dan satu daripada strategi digunakan adalah dengan menumpukan pada bandar raya tahap 1 dan 2 di pelbagai negara.

Pada kali ini, organisasi promosi perdagangan negara itu akan mengetuai penyertaan syarikat Malaysia pada Pameran Perdagangan Industri Pembuatan Am Toyama atau T-Messe 2019 mulai esok sehingga 2 November 2019.

Toyama ialah hab pembuatan bagi industri mesin dan elektronik terletak 400 kilometer (km) utara Tokyo di kawasan (tengah) Chubu, menghadap Laut Jepun.

Matrade dalam satu kenyataannya menjelaskan, sebanyak 10 syarikat Malaysia dalam sektor seperti elektrik & elektronik (E&E), automotif, mesin dan alat ganti serta alatan perubatan akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka kepada kira-kira 61 pembeli Jepun yang berpotensi.

Pada acara itu, pejabat Matrade di Tokyo akan mengaturkan siri padanan perniagaan kepada perniagaan (B2B) untuk syarikat Malaysia.

Inisiatif itu akan memperluas penerokaan Malaysia melangkaui bandaraya terkemuka iaitu Osaka dan Tokyo, kata Pengarah Bahagian China dan Asia Timur Khairul Annuar.

“Toyama sebagai hab pembuatan mesin, E&E dan automotif bukan sahaja akan menyediakan peluang kepada syarikat Malaysia untuk membekalkan kepada perniagaan Jepun tetapi juga ia akan memberi pendedahan mengenai trend pembuatan di Jepun iaitu negara yang terkenal di seluruh dunia bagi keupayaan teknologinya,” katanya.

Untuk rekod, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 dagangan dengan Jepun bernilai RM84.84 bilion mencatatkan penurunan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Eksport berjumlah RM44.05 bilion merosot 4.1 peratus disebabkan eksport lebih rendah LNG, peralatan optikal dan saintifik serta produk pembuatan berasaskan minyak sawit.

Peningkatan eksport bagaimanapun direkodkan oleh peralatan pengangkutan, produk logam, tekstil, pakaian dan kasut serta makanan diproses. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!