Bantuan kewangan buat anak, keluarga Allahyarham Muhammad Syakiran

Gambar kenangan Allahyarham Muhammad Syakiran dan isteri, Nurul Ashikin yang turut terkorban dalam nahas jalan raya pagi semalam.
Gambar kenangan Allahyarham Muhammad Syakiran dan isteri, Nurul Ashikin yang turut terkorban dalam nahas jalan raya pagi semalam.
A
A
A

SEREMBAN - Polis akan menyalurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, bantuan berkenaan akan disalurkan dalam masa terdekat.

"Kita akan beri bantuan kebajikan seperti bantuan kewangan kepada anak mereka, yang mana telah menjadi ahli koperasi dengan insuransnya kita akan hulurkan kepada pihak keluarga arwah,” katanya kepada pemberita pada program Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di sini hari ini.

Muhammad Syakiran dan isteri, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan jalan raya dengan sebuah lori, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.59 pagi itu, Muhammad Syakiran yang bertugas di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam, Selangor cedera di perut dan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), manakala isterinya yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.

Allahyarham Nurul Ashikin yang sedang mengandung anak kembar berusia dua bulan merupakan petugas Jabatan Kerja Raya (JKR).

Mereka meninggalkan seorang anak lelaki, Muhammad Arfan Ziqri yang berusia setahun 10 bulan.

Jenazah Muhammad Syakiran dan Nurul Ashikin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rekang Hilir, Bachok, Kelantan pada jam 2.20 pagi tadi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah anggota polis dan isteri dikebumi satu liang lahad

Keluarga terkejut Nurul Ashikin hamil anak kembar

Anggota polis, isteri maut kemalangan