MARA umum keputusan kemasukan MRSM 2019

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan kemasukan pelajar ke MRSM bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 telah diumumkan oleh pihak MARA pada 21 Disember dan 28 Disember lalu secara dalam talian.

Pelajar yang berjaya perlu membuat pengesahan penerimaan dalam masa 7 hari dari tarikh pengumuman. Pendaftaran masuk ke MRSM akan diadakan serentak pada 14 Januari 2019 dengan kuota maksimum seramai 7,760 bagi Tingkatan 1 dan 2,245 tempat bagi Tingkatan 4.

Setakat ini, seramai 6,606 pelajar telah pun mengesahkan penerimaan tawaran masuk ke Tingkatan 1 dengan jumlah pelajar dari keluarga berpendapatan rendah B40 seramai 4,492 orang iaitu sebanyak 68%.

Manakala untuk Tingkatan 4, seramai 1,522 pelajar telah pun mengesahkan penerimaan tawaran dengan 978 pelajar iaitu 64% dari keluarga B40.

Pemohon yang tidak berjaya boleh membuat rayuan secara dalam talian dan keputusan pengambilan seterusnya akan diumumkan secara berperingkat sehingga Februari 2019.

Pemohon boleh menyemak keputusan kemasukan di Portal Rasmi MARA melalui pautan www.mara.gov.my.

Pada pengambilan tahun 2018, jumlah pelajar dari keluarga B40 sebanyak 44%, M40 sebanyak 28% dan T20 sebanyak 28%. Peningkatan sebanyak 26% bagi keluarga B40 telah membuktikan komitmen kementerian terhadap pendidikan rakyat.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun dalam satu kenyataan media berkata, kementerian dan MARA memahami masalah yang dihadapi pelajar dari keluarga miskin tegar yang terpaksa menolak tawaran ke MRSM akibat daripada masalah kekangan kewangan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sejajar dengan polisi kementerian memberi keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan, program bantuan khas yang dikenali sebagai BUDI akan diperluaskan.

"Pelajar yang benar-benar layak akan dipilih berdasarkan penilaian dan kriteria tertentu yang telah ditetapkan oleh MARA. Bagi sesi pengambilan 2019, MARA mensasarkan seramai 500 pelajar untuk program BUDI di seluruh negara.

"Bantuan yang diberikan meliputi bantuan kewangan, keperluan asas persekolahan dan aktiviti pembelajaran yang dibiayai oleh pihak MARA atau penaja," katanya.

Beliau bagi pihak kementerian dan MARA mengucapkan setinggi penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat dan badan zakat yang telah bersetuju menjadi penaja program BUDI untuk sesi pengajian tahun hadapan.

Katanya, MARA turut mengalu-alukan syarikat korporat lain yang ingin bersama menyumbang bagi membangunkan modal insan negara di masa akan datang.

"Pihak kementerian dan MARA juga ingin memaklumkan penerusan dasar pengambilan 10% pelajar bukan Bumiputera bagi setiap MRSM dengan turut memberi keutamaan kepada pelajar dari golongan B40.

"Setakat ini seramai 538 pelajar bukan Bumiputera telah pun mengesahkan penerimaan tawaran. Melalui pendekatan ini, ia akan mengukuhkan pelaksanaan integrasi nasional dalam sistem pendidikan MARA di samping mewujudkan persaingan sihat dalam kalangan pelajar," katanya.