Gajah musnah tanaman orang asli di Gua Musang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Lebih 300 penduduk orang asli di Pos Pasik, di sini bimbang dengan keselamatan mereka berikutan terdapat sekumpulan lima ekor gajah liar berkeliaran di kawasan penempatan mereka sejak tiga hari lepas.

Terbaharu, kedatangan sekumpulan gajah liar itu juga turut memusnahkan berpuluh-puluh pokok pisang milik penduduk pagi ini hingga menjejaskan pendapatan mereka yang bergantung kepada hasil pisang untuk perbelanjaan.

Penghulu Orang Asli Pos Pasik, Asen Along, 50, berkata, penduduk menyedari pokok pisang mereka dimusnahkan kira-kira 7 pagi dan kejadian dipercayai berlaku antara pukul 2 hingga 5 pagi tadi.

Katanya kebanyakan pokok pisang telah mengeluar buah dan menunggu masa untuk dikutip hasil, namun penduduk berputih mata apabila berpuluh pokok pisang dimusnahkan sekumpulan gajah liar terbabit.

Beliau berkata, kejadian serangan gajah liar ke atas kebun pisang penduduk itu telah empat kali berlaku tahun ini mengakibatkan penduduk terlibat menanggung kerugian.

Seorang penduduk orang asli, Amek Ajah, 45, pula berkata, kebanyakan penduduk juga tidak lena tidur sejak sekumpulan gajah liar itu berkeliaran di sekitar kampung berkenaan khususnya pada waktu malam hingga awal pagi.

Katanya, setakat ini sekumpulan gajah liar itu hanya menyerang tanaman pisang sahaja dan lari berselindung dalam hutan berhampiran pada waktu siang.

"Kami mohon pihak berwajib agar segera membantu kami menghalau gajah berkenaan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: