23 kes sampah haram di Pahang didakwa di mahkamah

Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembangunan Murid),Mohd Raauf Jali bersama Shahrudin bergambar bersama pemenang dalam Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) peringkat Pahang di Dewan Seri Mahkota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Pahang (Sektor Pembangunan Murid),Mohd Raauf Jali bersama Shahrudin bergambar bersama pemenang dalam Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (PERKISS) peringkat Pahang di Dewan Seri Mahkota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di sini hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 23 kes sampah haram didakwa di mahkamah pada tahun 2017 dan 2018 membabitkan hukuman denda sebanyak RM131,000.

Pengarah Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang, Sharudin Hamid berkata, semua kes berkenaan didakwa di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672) yang memperuntukkan denda minimum RM10,000 dan maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.

Menurutnya, pada tahun ini sebanyak 13 kes lagi masih dalam siasatan dan akan dibawa ke mahkamah selewat-lewatnya Disember ini dan semalam di Kuantan terdapat satu kes baharu menjadikan 14 kes setakat ini di Pahang.

"Selain kes pendakwaan mahkamah, kita juga telah menyita lima lori di Kuantan yang boleh didakwa di bawah kesalahan sama kerana membuang sampah secara haram. Lori-lori ini didapati membawa muatan seperti sisa binaan dan sampah domestik.

"Kenderaan terbabit kini ditahan di depoh tahanan dan kertas siasatan telah pun dibuka. Bagi mengekang aktiviti pembuangan sampah haram ini pihak SWCorp menyeru orang ramai dan semua pihak untuk bekerjasama. Memang kita hantar anggota dan ada lokasi yang selepas kita hantar tu dalam dua minggu mereka (lori haram) buat hal lagi.

"Jadi kerjasama secara holistik ini sangat penting dan bukan semata mata menjadi tugas serta amanah SWCorp untuk mendidik masyarakat supaya berubah. Tolong ambil gambar mereka dan buat laporan. Kita akan pergi sita dan dakwa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah Sekolah (PerKISS) Peringkat Negeri Pahang di Indera Mahkota di sini hari ini.

Dalam program tersebut sebanyak 59 sekolah bertanding merebut hadiah pelbagai kategori seperti Kutipan Tertinggi Plastik, Kotak, Tin Aluminium dan E-Waste.

Artikel Berkaitan:

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yeow Cheng Luan Mentakab dan SMK Seri Bera memenangi kategori utama peringkat sekolah rendah dan menengah. SJKC Yeow Cheng Luan juga menjadi wakil sekolah dari Pahang yang tercalon ke anugerah PerKISS Peringkat Kebangsaan tahun depan.