Pengekalan penarafan kredit bukti PH mampu urus negara: Lim Guan Eng

Guan Eng menjawab soalan pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Guan Eng menjawab soalan pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Pengekalan penarafan kredit oleh syarikat penarafan kredit antarabangsa terhadap Malaysia menjadi bukti kemampuan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengurus kerajaan walaupun terpaksa mewarisi hutang kerajaan terdahulu, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Beliau berkata, melalui langkah yang diambil kerajaan bagi mengurangkan 80 peratus hutang keseluruhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 77 peratus pada bulan Jun menunjukkan bahawa pihak syarikat penarafan menerima dan mengakui kewibawaan kerajaan PH.

"Kerajaan menghadapi banyak cabaran dalam mengurus kedudukan fiskal negara namun pengekalan penarafan ini penting kerana ia satu petanda undi percaya kepada kemampuan kerajaan.

"Syarikat penarafan kredit antarabangsa masih mengekalkan penarafan kepada Malaysia kerana mereka yakin tentang pengurusan kewangan yang berdasarkan kecekapan, akauntabiliti dan ketelusan, tak ada rasuah lagi," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ketika sesi berkenaan juga Ahli Parlimen Bagan itu turut menjawab 'serangan' Ahli Parlimen pembangkang susulan soalan tambahan yang diajukan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai aset 1MDB dan nilainya bagi memastikan penilaian lebih adil dapat dilakukan dalam menentukan kedudukan dana 1MDB.

Guan Eng menjelaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) perlu dibaca dengan teliti berhubung lima syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan yang menjadi masalah.

“Sekiranya YB (Tuan Ibrahim) baca lebih teliti, syarikat ini diwarisi oleh kerajaan lama, ditubuhkan oleh kerajaan lama, menjadi masalah kerana kerajaan lama. Semua ini angkara kerajaan lama. Oleh demikian, itu (tanggungan hutang) terpaksa ditangani kerajaan sekarang,”katanya.

"Saya rasa YB kena faham proses pengurusan kewangan. Itu adalah proses pengurusan kewangan, sesuatu yang berlaku bukanlah di bawah kerajaan sekarang. Ditubuhkan oleh kerajaan lama, hutang ditanggung oleh kerajaan lama, tetapi sekarang dibayar oleh kerajaan baharu. Itu yang penting, takkan ini pun tak faham,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun barisan pembangkang seperti ketua pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera), Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) masih tidak puas hati dan terus menuntut Lim menyatakan jumlah aset dan nilai aset sebenar milik 1MDB.

Bagaimanapun Guan Eng hanya memaklumkan bahawa pihaknya masih melakukan penilaian termasuk unit-unit yang dikatakan disimpan di dalam bank di Singapura.