Dr Mahathir optimis ke arah pemulihan negara

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan perasmian PNB Corporate Summit 2019 hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan ucapan perasmian PNB Corporate Summit 2019 hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan baharu bekerja lebih masa untuk mencergaskan semula dan memulihkan keadaan kucar-kacir yang ditinggalkan oleh pentadbiran terdahulu, dengan jalan ke arah pemulihan kini semakin jelas kelihatan.

Berucap pada Sidang Kemuncak Korporat PNB 2019 di sini hari ini, Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan melaksanakan reformasi penting untuk mempertingkatkan kestabilan, memperkukuhkan pengurusan fiskal dan memantapkan tadbir urus korporat serta ketelusan.

Bagaimanapun menurutnya, kerajaan terus dibebani dengan hutang yang ditinggalkan oleh pentadbiran sebelum ini meskipun kerajaan mengambil pelbagai langkah untuk menangani perkara itu, ia akan mengambil masa untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara.

"Kini sudah setahun setengah sejak kerajaan bertukar. Sambil kita membongkar lebih banyak lagi, kita dapat melihat bagaimana potensi Malaysia telah dibazirkan. Namun begitu, kita juga kini dapat melihat jalan ke arah pemulihan di hadapan," kata Dr Mahathir.

Turut hadir pada sidang kemuncak bertemakan 'Mencergaskan Semula Korporat Malaysia' ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dr Mahathir menegaskan bahawa kerajaan kekal komited untuk melaksanakan inisiatif yang diperlukan bagi mencapai matlamat utama menstrukturkan semula ekonomi ke arah menjadi progresif, berasaskan pengetahuan dan memperkasakan rakyat Malaysia.

Bagi mencapai matlamat itu, Perdana Menteri berkata, adalah penting agar sektor swasta melaksanakan peranan sebagai pemacu utama ekonomi.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa 'reboot' (langkah mencergaskan semula) yang dilaksanakan oleh kerajaan telah menyaksikan beberapa keadaan normal kembali ke dalam sistem tadbir urus dan pentadbiran.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan hubungan simbiosis antara kerajaan dan sektor kerajaan, tidak syak lagi, sektor korporat Malaysia juga perlu untuk ‘reboot’ dan kami percaya kerajaan akan kembali semula ke landasan yang tepat, begitu juga dengan sektor korporat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata, Korporat Malaysia perlu melaksanakan peranan lebih besar dalam mewujudkan kekayaan dan pembentukan nilai.

Perdana menteri berkata, sebahagian daripada proses ini membabitkan peningkatan produktiviti dan pembangunan bakat.

"Bagi peningkatan produktiviti, teknologi perlu lebih dimanfaatkan lagi, manakala bagi pembangunan bakat pula, sektor swasta dan GLC (syarikat berkaitan kerajaan) perlu menyokong sistem pendidikan sedia ada.

"Di samping itu, adalah penting untuk memperkasakan golongan usahawan yang akan memberi sumbangan kepada sebuah sektor swasta yang dinamik. Kita juga perlu memperkukuhkan institusi sedia ada untuk menjana bakat yang diperlukan oleh sektor awam dan swasta,” katanya.

Dr Mahathir menggesa Korporat Malaysia supaya memberi perhatian kepada Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang ideal untuk didukung dalam semua aspek.

“Ini bukan sekadar retorik atau janji kosong kerana dia mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan semua rakyat Malaysia diberi peluang untuk berjaya," katanya. - Bernama