Nilai rampasan KPDNHEP Selangor RM15.8 juta

Loy Sian (dua kiri) menyemak harga barangan sewaktu pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di Pasaraya NSK Bandar Mahkota Cheras hari ini.
Loy Sian (dua kiri) menyemak harga barangan sewaktu pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 di Pasaraya NSK Bandar Mahkota Cheras hari ini.
A
A
A

CHERAS - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor melakukan rampasan bernilai RM15.8 juta mengikut pelbagai akta menerusi operasi yang dijalankan sejak Januari hingga semalam di seluruh negeri itu.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, dalam tempoh sama, pihaknya juga mengeluarkan kompaun berjumlah RM360,950 mengikut pelbagai akta di bawah agensi itu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, KPDNHEP Selangor telah menerima sebanyak 5,082 aduan secara keseluruhan di mana 1,065 melibatkan aduan harga.

"Jika dilihat peratusan aduan diterima adalah bersamaan dengan 20.96 peratus dan ini menunjukkan bahawa orang awam semakin memberi tumpuan terhadap kesalahan melibatkan harga ini," katanya pada sidang akhbar bersempena pemeriksaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2019 yang berlangsung di Pasaraya NSK Bandar Mahkota Cheras hari ini.

Hadir sama Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian.

Dalam pada itu Loy Sian berkata, pihaknya akan menyediakan peruntukan lebih pada tahun hadapan bagi tujuan pengedaran papan tanda harga khas yang dapat digunakan sepanjang pelaksanaan skim harga maksimum pada musim perayaan.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan skim berkenaan sempena perayaan Deepavali, sebanyak 500 papan tanda harga khas berwarna merah jambu telah disediakan buat peniaga dan peruncit di seluruh Selangor.

Artikel Berkaitan:

Loy Sian (dua dari kiri) dan Zikril (kiri) menunjukkan papan tanda harga khas yang diedarkan kepada peniaga dan peruncit sebelum ini.
Loy Sian (dua dari kiri) dan Zikril (kiri) menunjukkan papan tanda harga khas yang diedarkan kepada peniaga dan peruncit sebelum ini.

"Papan tanda harga lebih keras dan mudah buat peniaga untuk menulis harga barangan terkawal pada musim perayaan malah dapat diguna berulang kali," katanya.

Selain itu, Loy Sian memaklumkan bahawa bekalan bawang merah kecil sepanjang musim perayaan Deepavali mencukupi dan tiada sebarang aduan diterima sehingga kini.

Ujar beliau, walaupun India menghentikan eksport bawang merah kecil berkenaan di seluruh dunia ekoran banjir yang melanda negara berkenaan, peruncit dan peniaga di negara ini menggunakan alternatif lain bagi mendapatkan bekalan bahan berkenaan.

"Mereka menggunakan langkah alternatif dengan mengambil bekalan eksport dari China dan Vietnam.

"Selain bawang, barangan keperluan lain juga masih mencukupi sepanjang perayaan Deepavali," katanya.

Tambah Loy Sian, pihaknya juga turut memberi peringatan tegas kepada peniaga dan peruncit agar dapat mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sepanjang Deepavali.