Yang baik, yang hodoh dalam Bersatu

No Image Caption
A
A
A

SELESAILAH sudah Persidangan Agung Tahunan Bersatu, Ahad lalu. Persidangan diikuti dengan minatnya mereka yang berkepentingan dalam perkembangan politik negara.

Ini kerana Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, juga ikut terlibat dalam persidangan tersebut sebagai Pengerusi Bersatu.

Ucapan dan kenyataan Tun M memberi sedikit sebanyak gambaran tentang keadaan semasa negara dan petunjuk hala tuju negara seterusnya.

Sorotan dan kemuncak persidangan

1) Tun M berkata-kata

*Tun M mengulas sekali lagi tentang pemerhatiannya bahawa Melayu malas bekerja, berfikir dan membaca untuk menimba ilmu. Mereka suka mencari jalan pintas untuk berjaya dan sering menunggu pertolongan kerajaan. Beliau menggesa anak-anak muda termasuk perwakilan Armada berani membuat perubahan dengan membentuk personaliti Melayu baru berteraskan ilmu dan pemikiran dinamik serta amalan mantap sesuai tuntutan alaf baru. *Tun M juga memberi jaminan bekas pemimpin Umno yang melompat parti tidak akan diterima Bersatu sewenang-wenangnya. Permohonan dinilai rapi dan teliti untuk memastikan mereka sesuai dengan naratif baru dibawa Bersatu dan PH.

*Walaupun ada gesaan perwakilan agar Tun M terus kekal sebagai PM sehingga PRU15, beliau menegaskan akan menunaikan janjinya menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh 2 tahun dari tarikh mula menjawat jawatan tersebut.

*Tun M juga mengingatkan parti tidak menyekat orang-orang muda menjadi pemimpin parti sepertimana berlaku dalam Umno.

Artikel Berkaitan:

2) Syed Saddiq dan barisan anak muda

Syed Saddiq, Ulya Aqamah dan barisan muda Armada mungkin tidak mempunyai banyak pengalaman dalam sepak terajang politik atau hal-hal urus-tadbir negara. Tetapi mereka mempunyai semangat juang tinggi dan idealisme kental untuk mendorong mempertahankan prinsip perjuangan mereka.

Mereka perlu diberi ruangseluas-luasnya mencari pengalaman dan menyediakan diri mereka sebagai pemimpin masa depan. Lagipun kita yang sudah berumur perlu mengakui masa depan adalah hak mereka dan kita di sini perlu berganding bahu dengan mereka mencorak masa depan lebih baik sambil melatih mereka memikul tanggungjawab seterusnya.

3) Ucapan Tan Sri Rashid Rahman

Membawa kejutan kepada orang ramai ialah ucapan Naib Presiden Bersatu yang juga mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Rashid Rahman.

Dalam ucapannya, Rashid berkata kerajaan PH wajar memberi kontrak kepada ketua bahagian parti untuk memperkasa diri mereka dalam perjuangan untuk mengekalkan pemerintahan PH. Beliau juga berkata bahawa Bersatu dan PH perlu menang dengan apa cara saja, 'by hook or crook'.

Reaksi kepada ucapan Rashid

Tun M mengulas ucapan Rashid dengan berkata dalam keadaan hari ini, kerajaan tidak boleh buat macam dulu lagi kerana rakyat dan SPRM sentiasa memerhati bagaimana kerajaan PH mengurus tadbir negara dan segala keputusan dibuat, termasuk dalam hal-hal pembahagian kontrak.

Tan Sri Dr Rais Yatim pula berkata walaupun ucapan Rashid mendapat tepukan gemuruh dari perwakilan, ia sesuatu tidak praktikal untuk dilaksanakan. Armada juga menyuarakan rasa kesal dengan ucapan Rashid kerana ia bertentangan usaha kerajaan untuk mewujudkan sistem urus tadbir negara yang telus dan tulus.

DAP melalui Ketua Pemuda mereka, Howard Lee, ikut menyuarakan rasa jengkel mereka terhadap ucapan Rashid.

Bersih melalui Maria Chin juga mengutuk keras ucapan Rashid tersebut sebagai suara sumbang untuk kembali kepada era klepto Umno.

Yang baik, yang buruk dan yang hodoh

1) Yang baik:

Tun M, Rais, Syed Saddiq dan barisan Armada serta perwakilan yang berucap dengan penuh moderasi dan kesedaran tentang harapan dan aspirasi rakyat akan dianggap sebagai 'yang baik' dalam Bersatu.

2) Yang buruk:

Saya tidak ada hak untuk bercakap bagi pihak rakyat atau pengundi. Tetapi daripada laporan akhbar dan juga maklum balas di media sosial, rasanya tidak keterlaluan jika saya katakan di sini, mengikut persepsi rakyat, Rashid adalah watak 'yang buruk' dalam jalan cerita Bersatu.

Ucapannya mencerminkan pemikiran lapuk ala budaya Umno yang sudah tidak sesuai lagi pada alaf baru. PRU14 menghasilkan kerajaan baru dengan agenda perubahan dan pembaharuan untuk menggantikan cara dan kaedah rejim korup Najib Razak. Tuntutan dibuat Rashid seolah-olah mahu mengulangi kembali budaya korup tersebut. Rashid bagaikan menganggap pengorbanan dan kebangkitan rakyat menentang kerajaan zalim dan korup bertujuan untuk memperkaya ketua bahagian parti sepertinya.

3) Yang hodoh :

Kita menaruh harapan tinggi kepada perwakilan untuk memainkan peranan semak dan imbang ke atas pemimpin-pemimpin mereka. Mereka memikul amanah rakyat dan membawa suara keramat rakyat untuk disampaikan kepada pucuk pimpinan. Kita mengharapkan mereka berani berkata benar sambil menegur pemimpin yang terpesong atau membawa idea-idea sumbang dengan tuntutan semasa.

Malangnya mereka ikut memberi galakan kepada Rashid dengan memberi tepukan gemuruh kepadanya. Kita tidak mahu budaya 'cari dan makan dedak' yang sering disebut Tun M menular menjadi satu budaya dalam Bersatu.

Atas sikap dan tindakan mereka tersebut, kita labelkan perwakilan sebagai 'yang hodoh' dalam Bersatu. Kita berharap mereka lebih prihatin dengan tanggungjawab mereka pada masa-masa hadapan.

Rakyat sedang memerhati sama ada tuntutan dan gesaan Rashid akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan sepertimana dilaporkan akhbar semalam. Apakah Tun M dan pemimpin-pemimpin kanan Bersatu akan memilih untuk tunduk kepada tuntutan Rashid atau akur dengan suara rakyat.

Apakah Bersatu akan mengikuti politik ala Najib yang sering menyebut Umno perlu menang 'by hook or by crook' yang sekarang dilaung pula Rashid?

Kenyataan terbaru Datuk Saifuddin Abdullah bahawa tidak ada perjanjian tentang Tun M menyerahkan kuasa kepada Anwar dalam tempoh 2 tahun Tun M memulakan tempoh sebagai PM juga telah menimbulkan kekeliruan baru.

Jika dibaca kenyataan penuhnya, ia tidak banyak berbeza apa diucapkan Tun M dan apa fahami tentangnya. Tetapi apabila dia memberi penekanan tidak ada apa-apa perjanjian untuk Tun M menyerah kuasa kepada Anwar dalam tempoh 2 tahun, ia mencetuskan persoalan tentang maksud dan tujuannya. Rakyat pun keliru dan tertanya-tanya apakah kedudukan sebenarnya dalam hal ini? Politik apakah sedang dimainkan Bersatu?

Kita mengharapkan kejernihan dalam hal ini bukan kekeruhan yang membawa kepada kemelut berpanjangan antara pihak-pihak berkenaan sekaligus menganggu-gugat usaha dan tumpuan untuk membangunkan negara. Rakyat berkata cukup dan berpada-padalah dalam permainan politik. 2019 adalah tahun untuk PH bekerja kuat ke arah menunaikan janji-janji yang belum tertunai. Rakyat sedang memerhati.

Semalam akhbar melaporkan Tun M menyuarakan rasa gusarnya tentang pemimpin-pemimpin Bersatu yang mementingkan diri sendiri (selfish) dan yang mabuk kuasa (power hungry) yang akan membawa Bersatu menjadi Umno baru.

Kenyataan dan peringatan tersebut amat tepat dan wajar sekali untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Bersatu dan PH tetap teguh dengan wadah dan prinsip perjuangan asal mereka khususnya di saat dan ketika rakyat mula gelisah melihat gelagat setengah pemimpin Bersatu dan PH.