X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir: 2,143 orang di enam negeri masih di pusat pemindahan

-Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 2,143 mangsa banjir di Perlis, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Selangor masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam9 pagi ini.

Bagaimanapun, jumlah itu menurun daripada 2,345 orang yang dipindahkan semalam dengan beberapa buah PPS juga telah ditutup.

Di Selangor, dua lagi PPS baharu dibuka iaitu masing-masing di daerah Gombak dan Hulu Langat berikutan hujan lebat di beberapa kawasan di negeri itu petang semalam.

Menurut kenyataan Smart Selangor Command Centre (SSCC) hari ini, pembukaan dua PPS baharu itu menjadikan pusat pemindahan yang dibuka setakat jam 8 pagi ini di negeri itu adalah enam buah termasuk empat di daerah Kuala Selangor membabitkan jumlah keseluruhan 885 mangsa daripada 285 keluarga.

Dua PPS baharu itu adalah di Balai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Matang Pagar, Gombak yang menempatkan empat mangsa daripada sebuah keluarga, manakala PPS di Balairaya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Batu 10 Hulu Langat menempatkan lapan mangsa daripada dua keluarga.

Di Perak, hujan berterusan sejak semalam di Bidor menyebabkan banjir di kawasan Kampung Sungai Klah Baru, Sungkai sehingga 36 penduduk daripada 12 keluarga terpaksa dipindahkan ke PPS.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Sungai Klah Baru selepas kawasan itu dinaiki air setinggi 0.9 meter (tiga kaki) malam tadi.

"Cuaca di kebanyakan kawasan lain di Perak adalah baik, namun kawasan Bidor masih mengalami hujan pagi ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Enam lagi PPS masih dibuka dan keseluruhan jumlah mangsa di Perak adalah seramai 723 orang daripada 183 keluarga pada pagi ini.

Daerah Hilir Perak mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 341 orang membabitkan 89 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS iaitu 233 mangsa daripada 59 keluarga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, 62 mangsa daripada 16 keluarga di Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan, Langkap dan SK Dato' Yahya Subban (46 mangsa daripada 14 keluarga).

Di Kedah, seramai 288 orang mangsa daripada 79 keluarga ditempatkan di tiga PPS meliputi daerah Pendang, Kubang Pasu dan Baling setakat jam 8 pagi ini.

Jumlah mangsa banjir di Pendang meningkat kepada 103 orang daripada 32 keluarga berbanding 98 orang daripada 30 keluarga petang semalam.

Tinjauan Bernama di Sungai Pendang mendapati paras air masih berada di paras bahaya iaitu 2.90 meter berbanding 2.98 meter semalam walaupun keadaan cuaca cerah pagi ini.

Kebanyakan mangsa yang menetap di tepi sungai itu juga dilihat telah berpindah sebagai langkah berjaga-jaga ekoran limpahan air deras yang menuruni kawasan bukit di hulu walaupun sebelum ini ada yang tetap bertahan di rumah.

Di Johor, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir masih sama iaitu 176 mangsa daripada 46 keluarga membabitkan tiga daerah seperti direkodkan pada pukul 8 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di enam PPS membabitkan daerah Batu Pahat, Kulai dan Kluang.

Di Batu Pahat, Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kajang masih memberi perlindungan kepada 16 mangsa daripada tiga keluarga yang terjejas akibat dibadai ribut pada 21 Oktober lepas.

“Di Kulai, Masjid Al Muhajrin Kampung Melayu Bukit Batu menempatkan 64 mangsa daripada 16 keluarga, manakala Surau Kampung Siam pula 17 mangsa daripada lima keluarga.

“Di Kluang, Balairaya Kampung Parit Haji Hashim menempatkan dua mangsa daripada dua keluarga, 51 mangsa daripada 15 keluarga pula di SK Seri Kampung Tengah Renggam dan SK Sungai Linau, 26 mangsa daripada tujuh keluarga,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Di Pulau Pinang, banjir yang melanda Daerah Seberang Perai Tengah, di sini sejak minggu lepas semakin surut dengan hanya 23 mangsa masih ditempatkan di PPS pagi ini berbanding 65 orang petang semalam.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh, sehingga pagi ini, hanya sebuah keluarga terdiri daripada empat orang ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Taman Sukun, manakala Tadika Kemas Kampung Manggis pula menempatkan 19 orang daripada enam keluarga.

"Berikutan cuaca cerah dan semakin baik sejak semalam, beberapa kawasan yang sebelum ini digenangi air mula pulih dan ramai mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya.

Sementara itu di Perlis, hanya satu sahaja PPS dibuka di Parlimen Arau ekoran keadaan semakin pulih.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, PPS yang dibuka ialah di Dewan Sivik Arau yang menempatkan 14 keluarga melibatkan 48 mangsa setakat 7.30 pagi ini.

JPBN berkata, PPS yang dibuka di Parlimen Padang Besar di Masjid Banggol Sena, Chuping telah pun ditutup pada pukul 10 malam tadi.

Kata kenyataan itu, rata-rata air di kawasan dan rumah yang ditenggelami telah mula surut dan pemantauan masih terus dijalankan, tambah kenyataan itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!