Boleh gila, sanggup cabut nyawa sendiri

Antara implikasi buruk apabila berdepan dengan penyakit kebimbangan melampau

No Image Caption
A
A
A

PERNAH tidak semena-mena hati menjadi gundah gulana tak tentu hala? Itu biasa... Pun begitu pastikan perasaan tersebut bukanlah sesuatu yang berlarutan hingga menjejaskan kesihatan mental dan fizikal.

Jika dibiarkan boleh mengundang padahnya!

Masalah kebimbangan melampau (anxiety disorder) seringkali menjadi perdebatan hangat.

Kebimbangan melampau merujuk kepada situasi seseorang akan terlampau risau dengan perkara remeh sedangkan pada akal fikiran yang waras, hal itu dapat diselesaikan dengan mudah.

Antara spektrum penyakit itu adalah serangan panik yang mana kerisauan itu muncul secara tiba-tiba. Simptomnya pula seperti jantung berdegup dengan kencang, nafas menjadi sesak dan badan berpeluh yang datang secara mendadak sehingga pesakit berasa 'mahu mati'.

Jika hal berkenaan terjadi, seseorang tidak seharusnya berdiam diri sebaliknya disaran merujuk kepada pakar psikiatri dan psikologi yang akan menilai selain mencadangkan rawatan susulan.

Pun demikian, timbul pandangan nakal kononnya penyakit kebimbangan melampau dikaitkan dengan masalah jiwa, sakit mental atau dengan istilah mudah, gila.

Benarkah andaian itu? Justeru, pada minggu ini, Sihat:Aktif akan mengupas secara lanjut mengenai penyakit berkenaan yang dikatakan banyak menghantui masyarakat sama ada sedar atau tidak.

Melawan kebimbangan melampau

Artikel Berkaitan:

NURAISYAH AHMAD, 37, ibu kepada tiga orang cahaya mata mengalami perubahan ketara terhadap emosinya semenjak suaminya mula disyaki bermain kayu tiga.

Dek kerisauan melampau tentang masa depannya dan anak-anak gara-gara perbuatan keji insan bernama lelaki, Nuraisyah menjadi tidak keruan.

"Tiba-tiba gejala berdebar-debar datang. Saya sangkakan hanya mainan perasaan, namun rasa itu semakin kuat. Ada masa kerisauan memuncak hingga saya tak boleh buat apa-apa.

"Ada ketikanya hendak ke pasar raya membeli barangan anak, sampai sahaja di kedai atau pasar raya, saya tak mampu melangkah keluar dari kereta. Jantung berdegup rasa macam hendak putus nyawa. Ingatkan sakit jantung, tapi bila buat pemeriksaan, normal tak ada apa-apa," katanya baru-baru ini.

No Image Caption

Susulan itu, kata Nuraisyah, doktor merujuk kesnya kepada pakar psikiatri. Jawapannya amat mengejutkan. Ibu muda itu menghidap penyakit kebimbangan melampau!

Ya, sebagai insan yang normal, kita tidak dapat lari daripada melalui perasaan bimbang, ragu-ragu, khuatir atau apa jua perkataan yang seumpamanya. Pun begitu, ia akan menjadi 'kudis' tatkala perasaan itu begitu sarat dan berselirat dalam minda tanpa ada titik noktah.

Kemelut akibat kebimbangan melampau turut pernah didedahkan seorang selebriti terkenal, Datin Diana Danielle pada Ogos lalu.

Pelakon filem Kami Histeria itu berkata, masalah yang dilaluinya membuatkan dirinya sukar bernafas selama beberapa hari. Ceritanya, antara tanda awal yang dialaminya ialah tapak tangan berpeluh, sukar tidur, dada berdebar, kurang rehat dan hilang selera makan.

Menyingkap Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan pada 2018, tiga daripada 10 orang dewasa berusia lebih 16 tahun menderita pelbagai isu kesihatan mental.

Ia dikatakan merupakan masalah kesihatan kedua terbesar rakyat Malaysia menjelang era 2020 selepas penyakit jantung.

Masalah mental itu termasuklah kebimbangan melampau (anxiety), kemurungan (depress) dan ketegangan jiwa (stres). Menggusarkan bukan?

Bagi menghuraikan tentang penyakit kebimbangan melampau itu secara terperinci, Sihat: Aktif mendapatkan pandangan Pakar Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.



DR ROZANIZAM
DR ROZANIZAM



Tidak mampu dikawal

Dr Rozanizam berkata, perasaan resah dan cemas merupakan sebahagian daripada emosi normal manusia. Ia terjadi akibat situasi yang mengaktifkan bahagian otak yang mengawal respons simpatetik manusia.

Akibatnya, fisiologi tubuh manusia berubah bagi menyesuaikan keadaan dan bersedia untuk 'tindakan lari' atau lawan, terang beliau.

"Namun pada sesetengah orang, keadaan cemas berlaku dalam keadaan tidak normal. Misalnya, respons cemas berlaku meskipun tiada sebarang punca.

"Ada juga keadaan bila mana respons itu berlaku dalam keadaan berterusan pada kadar yang tidak mampu dikawal sehingga mengganggu fungsi seharian. Keadaan inilah yang dipanggil keresahan melampau," jelasnya kepada Sihat:Aktif.

Ujar Dr Rozanizam lagi, kebimbangan melampau merupakan sejenis gangguan mental. Setiap jenis kebimbangan melampau pula diberi nama yang berbeza berdasarkan kriteria tertentu.

Jelas beliau, tanda-tandanya boleh dibahagikan kepada beberapa kelompok gejala:

- Tanda fizikal: jantung berdebar, berpeluh, rasa mual dan ingin muntah, sukar bernafas, ketar tangan, rasa seperti hendak pitam atau pengsan.

- Tanda emosi: takut, cemas, gelisah, tidak tenteram, berat hati.

- Tanda tingkah laku: mengelak situasi tertentu, menyendiri, gagal menyempurnakan tugasan tertentu, gangguan tidur.

- Tanda fikiran: terlalu memikirkan masalah, fikiran berulang dan kurang tumpuan.

Kepada yang tidak mengerti, barangkali ada yang melontarkan persepsi bahawa golongan berkenaan hanya 'bermain dengan perasaan' ataupun mengada-ngada. Jangan terlalu skeptikal.

Kajian menunjukkan perasaan asing itu berlaku kerana interaksi antara faktor genetik dan persekitaran.

"Namun, secara umumnya terdapat beberapa lagi puncanya seperti stres, kurang keyakinan diri atau terlalu mementingkan kesempurnaan dan sejarah ahli keluarga yang mempunyai masalah serupa. Selain itu, sesetengah gaya hidup yang dipraktikkan seperti penyalahgunaan substans dan masalah kesihatan juga boleh menyumbang kewujudan gejala keresahan melampau ini," kata Dr Rozanizam.

Penyakit mental?Jawapannya, ya. Ia antara jenis penyakit mental yang lazim. Satu kajian komuniti di Malaysia menunjukkan sekitar 8 peratus rakyat dewasa negara ini mengalami gejala kebimbangan melampau. Oleh sebab penyakit itu tidak dapat dilihat secara fizikal, banyak kes-kes yang tidak dirawat.

"Ramai salah faham. Oleh kerana pemeriksaan kesihatan biasanya mendapati fizikal seseorang itu sihat, pesakit anxiety sering dianggap mengadakan-adakan masalah. Lebih buruk, ada yang tidak dapat sokongan ahli keluarga dan persekitaran.

"Salah faham sebegitu perlu diperbetulkan kerana jika tidak dirawat, ia boleh memberi kesan jangka masa panjang pada individu itu," katanya.

Justeru, bagaimana mengelakkan kancah gangguan jiwa itu? Mengendalikan tekanan dengan baik, mendapatkan sokongan persekitaran, gaya hidup yang sihat dan mengelakkan penyalahgunaan substan boleh membantu.

Kendalikan juga konflik perhubungan dengan baik. Dapatkan pemeriksaan doktor sekiranya terdapat tanda-tanda awal kebimbangan melampau, itu saran Dr Rozanizam.

Buat kenalan atau ahli keluarga terdekat pesakit pula, belajarlah memahami dan jangan meremehkan perasaan dan pengalaman mereka.

"Bantu mereka mengendalikan tekanan. Dorong mereka mendapatkan bantuan profesional sekiranya masih belum berbuat demikian," ujarnya lagi.

Rawatan berbeza

Bagi Pensyarah dan Pakar Perubatan Keluarga di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Radzniwan A Rashid atau Dr Radzniwan pula menekankan kepentingan mendapatkan rawatan dengan segera.



DR MOHD RADZNIWAN
DR MOHD RADZNIWAN

"Doktor akan mengambil sejarah pesakit dan membuat pemeriksaan lanjut bagi memastikan masalah tersebut bukan disebabkan terutamanya oleh jantung, kelenjar tiroid, diabetes, alkohol atau dadah terlarang. Pengambilan ujian darah, air kencing dan pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) akan dilakukan. Jika hasilnya negatif, kemungkinan besar pesakit mengalami masalah berkaitan kebimbangan melampau!," katanya.

Jelas Dr Radzniwan lagi, penyakit kebimbangan melampau mempunyai banyak jenis. Antaranya, serangan kebimbangan, kecelaruan keresahan sosial, fobia khusus (specific phobia) dan agoraphobia.

Ada pula akibat sindrom tekanan selepas trauma, kecelaruan keresahan umum dan obsessive-compulsive disorder. Cara rawatannya pula berbeza.

Seperkara, ada ciri-ciri lain yang dikatakan berisiko untuk menghidapi masalah anxiety. Antaranya adalah mereka yang masih muda, pemalu, sering berseorangan, mudah risau dan pernah menghadapi trauma pada masa lampau di samping rendah keyakinan diri.

Selain itu, kelakuan mereka yang mudah terperanjat, sukar bertenang dan memberi tumpuan, sentiasa resah gelisah, susah tidur nyenyak, mudah letih dan sentiasa memikirkan perkara yang menakutkan. Jangan tidak percaya, ujar Dr Radzniwan, pengambilan minuman berkafein tinggi juga boleh mengakibatkan simptom itu!

Impak teruk

Sesungguhnya, jangan sesekali memandang enteng penyakit kebimbangan melampau. Sekiranya dibiarkan, nescaya, natijahnya akan mengundang masalah fizikal yang lebih teruk.

Ujar Dr Radzniwan, antara hal-hal buruk yang boleh tercetus adalah seperti pedih perut (gastrik), turun berat badan dan tekanan darah tinggi disebabkan masalah psikologi seperti rasa rendah diri, gangguan tidur dan hilang selera makan.

Dari segi sosial pula, golongan itu berisiko tidak fokus dalam pembelajaran atau bekerja, tidak pandai berkawan dan cenderung untuk mengambil dadah atau minum alkohol yang berlebihan. Kesemua itu menjejaskan kualiti kehidupan.

"Sekiranya tidak dikesan dan dirawat, pesakit boleh menghidapi tekanan hidup lebih teruk, tidak bermaya, kemurungan yang serius dan boleh mencederakan diri sendiri. Lebih teruk apabila mereka sanggup untuk membunuh diri dek kepayahan yang ditanggung!

"Ada juga boleh ke tahap sakit mental atau gila yang mana istilah perubatan berkaitan skizofrenia, kecelaruan, kemurungan keterlaluan dan kecelaruan bipolar," katanya.

Menyambung hujah, Dr Radzniwan berkata, tidak dinafikan sokongan sekeliling daripada keluarga dan terdekat sangat penting. Dewasa ini terdapat pelbagai cara merawat penyakit tersebut.

Rawatan psikoterapi juga adalah satu cara efektif disediakan di klinik tertentu dan hospital. Pakar psikologi dan psikiatri memainkan peranan yang sangat penting dalam situasi tersebut.



SESI kaunseling yang berkesan antara pendekatan yang boleh membantu pesakit.
SESI kaunseling yang berkesan antara pendekatan yang boleh membantu pesakit.

"Psikoterapi atau secara amnya dikenali sebagai kaunseling yang khusus ada banyak jenis. Namun salah satu bentuk psikoterapi yang sering digunakan adalah terapi perilaku kognitif.

"Banyak jenis ubat boleh pulihkan anxiety. Bagaimanapun bergantung kepada jenis anxiety dan tahapnya. Ubat penenang juga boleh membantu," katanya.

Benar apa diperkatakan Dr Radzniwan kerana berbalik semula kepada kes Nuraisyah tadi, wanita itu mengakui, sehingga kini terpaksa mengambil ubat bagi menenangkan diri menghadapi karenah suami yang kaki perempuan.

Akuinya, hanya dengan makan ubat dapat membantunya menguruskan anak-anak. Pendek kata, dengan ubat dimakan beliau mampu mengawal gejala penyakitnya.

Ada genetik tidak semestinya warisi penyakit

KAJIAN menunjukkan pengaruh genetik dan psikososial antara faktor untuk seseorang menghidapi penyakit kecelaruan kebimbangan.

Pegawai Psikologi Unit Psikiatri Komuniti dan Intervensi Psikososial, Jabatan Psikiatri, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Hanieza Fadzlina Yahya berkata, bagaimanapun hal itu boleh dicegah.



HANIEZA FADZLINA
HANIEZA FADZLINA

"Jika ada kesedaran menjaga emosi diri dan gaya hidup, mereka akan dapat menjalani kehidupan lebih optimis dan produktif walaupun ada risiko genetik untuk mendapat penyakit mental.

"Ambil peduli tentang tanda awal kebimbangan seperti berdebar-debar, degupan jantung laju daripada biasa, kerisauan bersosial, senang berpeluh bila mula risau atau rasa menggigil dan serang panik. Jika berlarutan lebih dua minggu hingga ganggu fungsi harian, dapatkan rujukan di mana-mana klinik biasa," katanya kepada Sihat:Aktif ketika diwawancara baru-baru ini.

Menurut Hanieza, lazimnya, pegawai perubatan akan memberikan surat rujukan jika perlu ke klinik kesihatan mental untuk bantuan lanjut.

Berdasarkan rekod, di Malaysia terdapat 22 cawangan klinik kesihatan mental (Mentari) di bawah Kementerian Kesihatan seluruh Malaysia.

"Untuk berjumpa pakar psikiatri tidak perlu stigma dan bimbang. Namun, alternatif awal boleh juga bertemu wakil badan bukan kerajaan berkaitan untuk membantu seperti Befrienders atau Pusat Kaunseling Selangor di Shah Alam, selain Mentari.

"Doktor psikiatri akan mengesahkan berkenaan diagnosis. Walaupun sudah ada diagnosis dan rawatan ubatan, intervensi psikososial dengan berjumpa pakar psikologi klinikal atau kaunselor juga bermanfaat untuk klien menuju kesembuhan," terangnya.

Ada temu janji berkala yang memerlukan komitmen klien dan penjaga bersama berjuang untuk pulih.

Menurutnya, sokongan keluarga dan komuniti sekeliling sebenarnya amat penting dalam usaha mencegah stigma tentang penyakit mental.



JIKA ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit kebimbangan melampau, ia bukan bermakna ahli famili lain akan menghidap penyakit yang sama.
JIKA ahli keluarga mempunyai sejarah penyakit kebimbangan melampau, ia bukan bermakna ahli famili lain akan menghidap penyakit yang sama.

ANEKDOT

RAWATAN

Rawatan biologi: Ubat jenis antidepresi dan benzodiazepine. Kadar, jenis dan tempoh rawatan berbeza mengikut individu.

Rawatan psikososial: Terapi kognitif dan tingkah laku serta terapi relaksasi. Pesakit diajar memperbaiki gaya fikir dan pola tingkah laku.