Ahli akademik perlu bijak hadapi cabaran Revolusi Industri 4.0: PM

Dr Mahathir bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13 malam tadi. - Foto Bernama
Dr Mahathir bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13 malam tadi. - Foto Bernama
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Setiap ahli akademik perlu lebih bijak untuk kekal relevan dalam berdepan cabaran Era Revolusi Industri 4.0 bagi memastikan tiada pelajar yang ketinggalan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Era Revolusi Industri 4.0 mendedahkan bidang akademik kepada keadaan yang lebih mencabar dengan kehadiran apa yang digelar sebagai 'disruptive technology'.

Menurutnya, ia memerlukan ahli akademik yang mempunyai wawasan, bersedia berubah bersesuaian dengan cabaran-cabaran baharu serta mempunyai kebijaksanaan untuk kekal relevan.

"Melihat kepada kepantasan perubahan yang dibawa oleh Revolusi Industri 4.0, ahli-ahli akademik juga perlu cepat menangani perubahan serta mampu melakukan pendekatan-pendekatan yang memastikan pelajar kita tidak ketinggalan.

"Yang pasti, kita tidak mempunyai banyak masa untuk membiarkan diri kita hilang fokus dari cabaran-cabaran yang berada di hadapan kita.

"Kita tidak ada pilihan melainkan memberi sepenuh perhatian terhadap perubahan-perubahan tersebut dan jika kita tidak mampu menangani mereka kita akan terpinggir," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-13 malam tadi.

Mengulas berhubung anugerah tersebut, Dr Mahathir berkata, semua penerima patut dijadikan contoh kepada ahli-ahli akademik yang lain bahawa usaha mempertingkatkan kepakaran tidak boleh berhenti setelah seseorang ahli akademik itu mendapat ijazah peringkat doktor falsafah atau PhD.

Ujar beliau, pencarian ilmu tidak perlu ada penghujung ataupun kepuasan sebaliknya ia perlu menjadi satu pencarian sepanjang hayat.

Artikel Berkaitan:

"Ahli-ahli akademik mempunyai kedudukan yang paling baik untuk memimpin pencarian tersebut.

"Universiti-universiti juga harus berperanan sebagai pemangkin dan penggalak kepada pencarian ilmu atau digelar sebagai pemetaan bakat akademik dan pembangunan kesarjanaan," katanya.

Pada majlis itu, Ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Emeritus Tan Sri Dr Zakri Abdul Hamid dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara.

Prof Datuk Dr Abdul Khalil H P Shawkataly (Bidang Sains) dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Prof Dr Sherina Mohd Sidik (Bidang Sains Sosial dan Sastera) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal dan Prof Dr Lai Oi Ming dari UPM menerima Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk.

Bagi Anugerah Seni dan Kreatif dianugerahkan kepada Dr Ang Mei Foong (Kelompok Seni Persembahan) dari UPM; Prof Madya Jalaini Abu Hassan (Kelompok Seni Visual) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM); dan Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin (Kelompok Penulisan Kreatif) dari UPM.

Sementara Dr Shahreza Md Sheriff (Kelompok Sains Kegunaan) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima Anugerah Pengajaran dan Prof Madya Dr Oon Chern Ein dari USM menerima Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan kepada para cendekiawan Malaysia yang telah banyak menyumbang dalam melonjakkan nama institusi pengajian tinggi (IPT) peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Sementara itu, Dr Zakri berkata, penganugerahan itu menjadi satu bentuk penghormatan tertinggi negara kepada ahli-ahli akademik yang turut menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang untuk pembangunan serantau dan pembangunan global.

"Harapan saya untuk generasi muda meneruskan perjuangan memartabatkan bidang akademik di negara kita, untuk membantu pembangunan negara menjadi negara maju. Ini adalah tugas orang-orang muda untuk mempunyai iltizam, komitmen dan inspirasi," katanya.