Antara taska dan karier ibu

A
A

BILANGAN wanita berpelajaran yang berkahwin dan memiliki cahaya mata serta menjadi suri rumah sepenuh masa memang ramai.

Bukan kerana tiada wang untuk membayar pengasuh tetapi mereka skeptikal dengan pengasuh zaman sekarang yang dilihat tidak ikhlas, tiada belas kasihan dan beremosi ketika menjaga anak kecil.

Lihat sahaja laporan yang mengenai penderaan dan kecuaian pengasuh yang disiarkan di media. Paling sukar dilupakan ialah kematian tragis adik Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves, Selangor. Memang memilukan jika mahu diimbau kembali. Melihat kepada kemelut berkenaan, ramai yang menyuarakan kembali tentang penubuhan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja.

Pada 24 Oktober lalu, Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung memberitahu Sinar Harian, kerajaan Johor kini sedang merancang menyediakan taska di tempat kerja bagi menggalakkan golongan wanita yang berkebolehan kembali bekerja.

Kata Cai Tung, kemudahan itu sangat penting bagi memudahkan kaum wanita supaya tidak terperangkap dalam keluarga dengan tidak bekerja. Beliau juga bimbang mengenai peningkatan peratusan wanita yang tidak bekerja selepas menamatkan pengajian di universiti.

Apa yang diperkatakan Cai Tung memang sangat dipersetujui. Sebenarnya, isu tersebut sudah lama dibangkitkan. Namun, sayangnya saranan demi saranan yang dilontarkan seperti dipandang sepi majikan terutama dalam sektor swasta.

Sebenarnya, penubuhan taska di tempat kerja boleh memberi impak besar kepada golongan wanita dari segi prestasi kerja mahupun kebolehan golongan itu dalam bidang tertentu.

Pandangan Timbalan Ketua pegawai Eksekutif Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Siva Kumeren Narayanan juga ada benarnya. Katanya, dengan adanya pembinaan taska atau pusat penjagaan kanak-kanak di lokasi si ibu bekerja, ia dapat membantu mengekang masalah ketidakhadiran pekerja.

Kajian TalentCorp pada tahun 2018 juga menunjukkan 40 peratus firma di Malaysia menawarkan kemudahan mesra keluarga dan daripada jumlah itu hanya lima peratus yang menawarkan pusat penjagaan kanak-kanak. Statistik itu sungguh menyedihkan!